BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Seramai 56 orang rakyat India telah menyertai kempen derma darah yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam dengan kerjasama Persatuan India Bandar Seri Begawan (BSBIA), hari ini.
Kempen yang turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar itu adalah bagi menandakan pelancaran aktiviti peringatan sempena sambutan ‘India@75 Azadi ka Amrit Mahotsav’.
Aktiviti yang dijalankan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) berkenaan juga membantu menambah simpanan darah sebelum bermulanya bulan Ramadan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi India di Brunei.
Kenyataan menjelaskan, Perdana Menteri India, Tuan Yang Terutama Narendra Modi telah melancarkan ‘Azadi ka Amrit Mahotsav’ pada 12 Mac lalu dari Sabarmati Ashram, Ahmedabad, India.
‘Amrit Mahotsav’ adalah siri acara kebudayaan dan inisiatif digital yang dilaksanakan oleh kerajaan India bagi memperingati ulang tahun kemerdekaan India ke-75.
