Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Sebanyak 57 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41 (HK-41), bagi warga Kementerian Pendidikan dan orang ramai yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baharu Kementerian Pendidikan, kelmarin.
Kempen derma darah yang dihasratkan untuk menambah simpanan tabung darah di Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) itu dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Beruniform dan Perkhidmatan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital RIPAS, Kementerian Kesihatan.
Kempen itu bermatlamat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah yang boleh menyelamatkan nyawa, di samping membantu menambah bekalan darah bagi keperluan perubatan di Hospital RIPAS.