Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    57 pelajar SM YSHHB dirai

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Seramai 57 orang pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YHHB), mengikut kategori masing-masing, pagi tadi telahpun diraikan di Majlis Penyampaian Hadiah Akademik dan Ko-Kurikulum yang telah diadakan di dewan serba guna, sekolah berkenaan.

    Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohd Reza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

    Menurut Awang Mohd Reza semasa menyampaikan ucapannya menjelaskan, kejayaan yang diperolehi ini bukan sahaja menjadi kebanggaan untuk para pelajar, malah ia juga menjadi satu penanda aras kepada sekolah ini untuk memperkembangkan lagi sistem pengajaran akademik di sekolah ini demi menghasilkan pelajar yang berkualiti tinggi serta berdaya saing.

    “Dalam keadaan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi masa kini, negara amat memerlukan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

    Bukan sahaja pendidikan itu berguna untuk pembangunan negara, malahan pendidikan juga diharap akan dapat menghasilkan rakyat yang berakhlak mulia seimbang dengan keperluan dunia dan akhirat,” jelasnya.

    Awang Mohd Reza semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar yang diraikan pada majlis tersebut.

    Beliau juga melahirkan perasaan gembira terhadap kejayaan yang diperolehi para pelajar dalam sama-sama berusaha bagi memenuhi hasrat kerajaan khususnya ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu ke arah pelajar berpendidikan, berkemahiran dan mempunyai kehidupan berkualiti tinggi di dalam ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Beliau seterusnya menekankan bahawa pendidikan itu tiada penghujungnya dan para pelajar sebagai generasi masa hadapan diseru untuk tidak berputus asa jika berhadapan dengan penderitaan, cabaran ataupun kegagalan.

    “Cabaran dan kegagalan itu Insya-Allah akan membuatkan seorang individu itu untuk memiliki jiwa kental, gigih berusaha dan berwibawa. Jadi, kualiti-kualiti inilah yang perlu ditonjolkan terutamanya jika dunia nanti berhadapan dengan cabaran dan isu-isu kesan daripada impak globalisasi dan ketidakstabilan ekonomi,” tambahnya.

    Manakala itu, menurut Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen dalam ucapannya menyatakan majlis seumpama itu diadakan setiap tahun dalam usaha untuk memberikan penghargaan dan memotivasikan pelajar-pelajar yang lain.

    Dalam majlis itu juga, sekolah turut menganugerahi lapan orang pelajar sebagai pembaca terbaik dari Tahun 7 dan 8 yang mana penganugerahan ini diberikan berdasarkan komitmen pelajar dalam Program ‘Drop Everything and Read’ (DEAR) yang telah dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Inggeris sekolah itu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda