GAZA, 4 MEI – Seramai 57 rakyat Palestin, yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan di Semenanjung Gaza sejak permulaan serangan Israel pada 7 Oktober 2023, menurut seorang pegawai kesihatan Palestin kelmarin.
“Jumlah kematian berkaitan kekurangan zat makanan terus meningkat di tengah-tengah sekatan berterusan oleh Israel dan hampir meruntuhkan sektor kesihatan,” kata Marwan al-Hams, pengarah hospital medan di bawah pihak berkuasa kesihatan Gaza, kepada agensi berita Xinhua.
Beliau turut menyatakan majoriti penduduk kini mengalami anemia akibat kekurangan nutrisi yang berpanjangan dan ketiadaan bekalan makanan asas.
Hospital medan telah melaporkan peningkatan kes anemia dalam kalangan penderma darah, sekali gus menjejaskan perkhidmatan perubatan kecemasan.
Al-Hams turut memberi amaran tentang pesakit penyakit kronik seperti kanser dan kegagalan buah pinggang sedang ‘meninggal secara senyap’ disebabkan kekurangan rawatan dan penjagaan khusus.

“Mereka yang cedera dan menghidap penyakit kronik memerlukan rawatan segera yang kini tidak lagi mampu kami sediakan,” katanya sambil menambah, hanya beberapa hospital medan yang masih beroperasi, kebanyakannya dikendalikan oleh sukarelawan.
Sementara itu, pejabat media kerajaan yang dikendalikan oleh Hamas menuduh Israel menggunakan kebuluran sebagai senjata terhadap penduduk awam.
“Apa yang sedang berlaku melebihi definisi bencana kemanusiaan, ia merupakan jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa,” kata kenyataan pejabat media tersebut yang turut mendakwa Israel terus menyekat kemasukan bantuan serta menyasarkan infrastruktur berkaitan makanan dan kesihatan.
Israel menghentikan kemasukan barangan dan bekalan ke Gaza pada 2 Mac selepas fasa pertama perjanjian gencatan senjata pada Januari telah tamat. Fasa kedua masih belum dilaksanakan kerana tidak ada persetujuan diantara pihak-pihak yang terlibat.
Pada 18 Mac, Israel menyambung semula operasi ketenteraannya di wilayah itu. Kira-kira 2,396 rakyat Palestin telah terbunuh dan 6,325 lagi cedera sejak serangan baharu dilancarkan.
Setakat ini, jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 telah mencecah seramai 52,495 orang dan 118,366 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza. – Xinhua