Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    58 kereta terbakar dalam enam bulan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Hasil perangkaan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menunjukkan bahawa setakat Januari 2021 hingga 18 Julai 2021, sebanyak 58 kejadian kenderaan terbakar telah dilaporkan.

    Manakala itu, sepanjang 2019 dan 2020 masing-masing mencatatkan sebanyak 93 kenderaan terbakar iaitu meningkat sebanyak 28 dari 2018 yang merekodkan sebanyak 65 buah kenderaan.

    Sementara itu, hasil daripada siasatan yang telah dijalankan oleh JBP menyatakan bahawa antara punca utama kenderaan terbakar adalah daripada tiga penyebab iaitu kebocoran hos minyak, kerosakan peralatan kenderaan dan pendawaian yang menyebabkan litar pintas.

    Perangkaan itu menunjukkan bahawa pada 2021 sahaja, insiden kebakaran kenderaan yang melibatkan kebocoran hos minyak adalah sebanyak 12 kes, kerosakan peralatan kenderaan sebanyak 26 kes, pendawaian yang menyebabkan litar pintas empat kes dan bagi penyebab lain-lain ialah sebanyak 16 kes.

    Perangkaan berkenaan dikongsi oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengang-kutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar semasa Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, baru-baru ini.

    Haji Mohd Salihin (dua, kanan), Lim Hock Guan (dua, kiri), Haji Rozaly (kanan) dan Awang Mohamad Fadhillah semasa Sidang Media MKKJR yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, baru-baru ini.

    Pada sidang media berkenaan, Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lim Hock Guan menerangkan mengenai langkah-langkah dan tindakan keselamatan apabila kenderaan terbakar.

    Beliau menerangkan bahawa trend kebakaran kereta merujuk statistik yang diterima oleh JBP adalah lebih kurang dua buah kereta terbakar setiap minggu. Dalam hal berkenaan, beliau menyarankan supaya pemilik kereta mengambil inisiatif dan langkah-langkah keselamatan iaitu memperoleh alat pemadam api mudah alih.

    Beliau juga menyarankan supaya setiap rumah untuk mempunyai alat pemadam api mudah alih sebagai langkah keselamatan.

    Beliau turut menyentuh mengenai Kursus Life Saver 995 dan Kursus Marsyal Bomba untuk masyarakat awam yang dapat membantu mereka mempelajari mengenai cara untuk memadam api semasa kecil.

    Menurutnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini iaitu dari 2018 hingga 2020, seramai 107,010 orang telah berjaya dilatih dengan pada 2020 berjaya untuk melatih seramai 21,108 orang serta pada masa yang sama, pada 2020 seramai 87 orang telah diberi penghargaan Sijil Masyarakat Berjasa.

    Pada sidang media berkenaan, Pengarah Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Rozaly bin Haji Saidon selaku Ketua Urus setia MKKJR berkata, selaku agensi yang bertanggungjawab mengenal hal keselamatan pemandu dan kenderaan, usaha-usaha JPD lebih menjurus kepada memastikan kenderaan-kenderaan yang digunakan di jalan raya adalah selamat antaranya melalui pemeriksaan, pemantauan dan pengauditan bersama agensi-agensi penguat kuasa terhadap bengkel kenderaan dan pusat pemeriksaan (VIS) yang menjalankan pemeriksaan dan mengeluarkan kelulusan teknikal kenderaan.

    Beliau mendedahkan bahawa dalam masa terdekat, usaha juga sedang dibuat bagi mendapatkan konsultasi pakar dari dalam dan luar negara seperti pihak Jordan untuk kaji selidik mengenai kejadian kebakaran kenderaan di negara ini.

    “Penglibatan agensi-agensi bukan kerajaan dalam pelbagai inisiatif ke arah memberi kesedaran berkaitan kebakaran kenderaan juga sentiasa dibuat seperti pihak BSM dalam memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kejadian kebakaran kenderaan ini dan untuk meningkatkan kewaspadaan.”

    Manakala itu, wakil pengerusi Persatuan Peniaga Automobil Brunei (BATA), Awang Mohamad Fadhillah bin Awang Sulaiman menerangkan bahawa salah satu usaha pihak pengedar kenderaan dalam memastikan keselamatan para pengguna ialah untuk membuat penggantian ke atas peralatan kenderaan yang tersenarai dalam recall list daripada pihak pembuat kenderaan. Dalam hubungan itu, pihak pengedar akan terus menghubungi pemilik-pemilik kenderaan bagi penggantian peralatan berkenaan semata-mata bagi memastikan kenderaan yang digunakan adalah dalam keadaan selamat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda