Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    58 pelajar ITQSHHB terima hadiah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Seramai 58 orang pelajar peringkat menengah serta siswa-siswi Diploma ‘Aliyah Qiraat sesi pengajian 2023/2024M telah menerima hadiah di Majlis Penyampaian Hadiah Cemerlang Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.
     
    Penyampaian hadiah kepada para penerima disempurnakan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, selaku tetamu kehormat.
     
    Daripada jumlah berkenaan, seramai 20 orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan kendalian ITQSHHB; tiga orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan O Level; tiga orang pelajar menerima Anugerah Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB); 20 orang pelajar menerima Anugerah Cemerlang Hafaz Al-Quran As-Syathibi; manakala 11 orang siswa siswi menerima Anugerah Mutafawwiq (Cemerlang Al-Quran, Qiraat dan Purata Nilai Gred Kumulatif).
     
    Selain itu, seramai 11 orang pelajar peringkat menengah dan siswa-siswi peringkat Diploma ‘Aliyah Qiraat turut menerima anugerah khas, iaitu seorang pelajar menerima Anugerah Pelajar Mithali (contoh); dua orang siswa-siswi menerima Ja’izah Khassah Littholib Al-Mithali; dan lapan orang siswa menerima Anugerah Khas Cemerlang Al-Quran 30 Juz.
     
    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tenaga pengajar ITQSHHB, Haji Abdul Rashid bin Haji Mohamad Saad. Ia diikuti dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali ‘Imran ayat 100 hingga 105 oleh siswa Tahun 1 Diploma ‘Aliyah Qiraat, Awang Muhammad Yusuf Haikal bin Mohamad Hashim.
     
    Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.
     
    Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Penolong Pensyarah ITQSHHB, Awang Mohd Azim bin Awang Haji Ali.
     
    Majlis itu diadakan sebagai penghargaan atas kecemerlangan para pelajar dalam peperiksaan Al-Quran dan akademik serta peperiksaan awam, selain menjadi dorongan dan motivasi kepada pelajar lain.
     
    Hadir sama ialah timbalan-timbalan pengetua, pegawai-pegawai, guru-guru, kakitangan, pelajar-pelajar dan siswa-siswi ITQSHHB serta ibu bapa dan penjaga para penerima anugerah.
     
    ATAS & BAWAH : Haji Mohammad Rosli menyampaikan hadiah kepada pelajar yang diraikan pada majlis di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pengiran Dr Haji Amiruddin menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda