Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    58 pelajar JCHS tamat Pensijilan Asas Sains dirai

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Seramai 58 pelajar yang berjaya menamatkan Pensijilan Asas Sains bagi tahun 2023 di Kolej Sains Kesihatan JPMC (JCHS) telah diraikan pada majlis penyampaian sijil yang pertama, hari ini.

    Majlis berlangsung di salah sebuah hotel di kawasan Berakas dengan tema Next Generation of Healthcare Visionaries.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada pelajar yang diraikan, Setiausaha Tetap (pengajian tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad.

    Turut hadir di majlis itu, Naib Presiden Kanan Hal Ehwal Akademik Far Eastern University, Dr Maria Teresa Trinidad P. Tinio, sebagai penceramah jemputan, di mana beliau telah berkongsi pandangan dan pengalaman berharga sebagai Hal Ehwal Akademik sebagai inspirasi kepada pelajar.

    Terdahulu majlis penyampaian sijil, Ketua Pegawai Eksekutif JCHS, Yea Fui dalam ucapannya antara lain menjelaskan, majlis tamat pengajian yang pertama ini, adalah bagi meraikan kerja keras, keazaman dan pencapaian penting yang telah dicapai.

    Dr Haji Azman menyerahkan sijil kepada salah seorang pelajar semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Menghabiskan pengajian asas adalah bukti daya tahan, dedikasi, dan semangat pelajar yang diraikan untuk profesion kejururawatan,” jelasnya.

    Beliau seterusnya menegaskan, kejururawatan memerlukan kekuatan hati dan minda dan ia memerlukan gabungan pengetahuan saintifik dan belas kasihan manusia, keseimbangan kemahiran teknikal dan penjagaan empati.

    Katanya lagi sambil mengingatkan, “Melangkah ke fasa seterusnya dalam pendidikan kejururawatan perlu diingat, ia bukan sekadar untuk memperoleh profesion sahaja, tetapi memberi keselesaan dan membuat perubahan yang mendalam.”

    Beliau seterusnya menambah, perjalanan ke hadapan pasti mencabar, di mana pelajar akan menghadapi tuntutan akademik yang ketat dan pengalaman klinikal yang sengit.

    “Melalui cabaran inilah awda terus berkembang, di mana setiap pelajaran yang dipelajari, setiap pesakit dijaga, dan setiap pengalaman yang diperoleh akan membentuk awda menjadi seorang profesional penjagaan kesihatan yang cekap, penuh belas kasihan dan berdaya tahan,” jelasnya.

    Di majlis itu, turut menyaksikan lafaz ikrar daripada pelajar yang diraikan dan bacaan diketuai oleh Presiden Majlis Pelajar, Dayangku Nuramalina binti Pengiran Haji Yussof.

    Program Sijil Asas Sains itu menyediakan pendidikan asas dan kursus persediaan untuk Ijazah Sarjana Sains Kejururawatan, dengan penekanan khusus pada sains biologi, kimia, dan sains hayat.

    Majlis itu merupakan satu pencapaian penting bagi JCHS dan para pelajarnya, yang mencerminkan komitmen kolej dalam melahirkan bakal profesional penjagaan kesihatan masa depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda