Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    58 penderma sertai kempen derma darah anjuran TAIB

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Seramai 58 penderma darah menabur bakti membantu menambah bekalan darah negara dengan menyertai kempen derma darah yang dianjurkan oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya iaitu Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB) yang berlangsung di Airport Mall, Berakas, hari ini.

    Haji Mahmud bergambar ramai semasa kempen darah tersebut.

    Kempen derma darah untuk orang awam sempena Hari Penderma Darah Sedunia itu diadakan dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang.

    Kempen itu menyaksikan seramai 58 penderma di mana ramai antara mereka merupakan penderma yang berpengalaman dan telah menderma darah sebelum ini serta juga penyertaan daripada penderma darah baru iaitu penderma darah kali pertama, dengan niat untuk menyelamatkan nyawa.

    Turut hadir pada kempen berkenaan ialah Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Datin Hajah Hasnah binti Haji Ibrahim; Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed; dan Pemangku Pengarah Urusan IITHSB, Haji Mohd Yusreza bin Haji Mohd Yussin bersama pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya serta komuniti sekitar.

    Salah seorang penderma darah, Awang Abdul Wafi bin Haji Morsidi ketika ditemui Media Permata selepas menderma darah menyatakan bahawa ia merupakan kali kedua beliau menderma darah di mana kali pertama adalah semasa kempen yang serupa yang diadakan pada tahun lalu.

    Beliau menyatakan bahawa hasrat untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya mereka yang memerlukan bekalan darah serta ingin untuk menyelamatkan nyawa telah memberikannya semangat untuk menderma darah.

    Beliau menerangkan bahawa pada kali pertama menderma darah, tidak dinafikan terdapat rasa gementar tetapi setelah melalui pengalaman itu, keinginan untuk menabur bakti kepada masyarakat telah mendorongnya untuk terus menderma darah.

    Awang Abdul Wafi berkata kepada mereka yang teringin untuk menderma darah supaya tidak merasa cemas di mana ia merupakan satu pengalaman yang akan memberikan mereka kepuasan kerana dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

    Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya menyedari pentingnya keperluan untuk penderma darah yang berterusan dan oleh itu, penganjuran kempen derma darah akan sentiasa diadakan pada masa hadapan demi menyokong usaha menambah bekalan darah negara.

    Sebahagian daripada penderma yang menyertai kempen berkenaan.- GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda