Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    584 graduan LCB diraikan

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Seramai 584 orang pelajar Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) mengorak langkah ke hadapan dan memulakan perjalanan meneroka alam pekerjaan apabila berjaya menamatkan pengajian mereka dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen LCB 2017 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para pelajar yang diraikan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

    Turut hadir ialah timbalan-timbalan setiausaha tetap Kementerian Pendidikan, pegawai-pegawai kanan LCB, pegawai-pegawai kanan Kensington College of Business, London, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, pensyarah LCB serta para ibu bapa dan keluarga para graduan yang diraikan.

    Di majlis berkenaan, Pengerusi Kensington College of Business, Dr. Lawrence Watson mengucapkan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan berharap mereka akan terus meraih kejayaan dalam kerjaya atau pengajian seterusnya.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bersama para pegawai yang berkenaan hadir pada Majlis Konvokesyen LCB 2017 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun.
    Dr. Lawrence Watson ketika menyampaikan ucapannya pada majlis konvokesyen tersebut.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom menyampaikan sijil kepada para graduan yang diraikan di majlis konvokesyen berkenaan.

    Beliau berkata, menerusi kerjasama yang erat di antara LCB dan Kensington College of Business serta sokongan daripada Kementerian Pendidikan, LCB terus melahirkan graduan-graduan yang berkaliber, berdaya saing, berkemahiran dan mempunyai ilmu pengetahuan yang relevan.

    Di samping itu, katanya, menerusi pengajian mereka di LCB, mereka bukan sahaja mendapat ilmu pengetahuan bagi alam pekerjaan atau untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi tetapi melalui pergaulan mereka semasa pengajian mereka, dididik untuk mempunyai daya komunikasi, kompetensi perancangan serta keupayaan bekerja dalam pasukan.

    Para graduan yang diraikan menanti untuk mendapatkan sijil mereka di majlis berkenaan.

    Menyentuh mengenai pendidikan, Dr. Watson berkata bahawa ia merupakan salah satu tonggak utama dalam mencapai Wawasan 2035 di mana pihak swasta mampu bekerjasama dengan pihak kerajaan dan memainkan peranan dalam melahirkan graduan-graduan yang berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

    Dr Watson turut menasihati para graduan yang diraikan untuk tidak berhenti belajar dan mengamalkan sikap pembelajaran sepanjang hayat, di samping sentiasa memberi bantuan kepada golongan memerlukan dan membantu mereka memperbaiki diri setelah menceburi alam pekerjaan nanti.

    Di majlis berkenaan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom menyempurnakan penyampaian sijil tamat pengajian kepada seramai 86 orang graduan Kursus University Foundation, 34 graduan Program KCB (Diploma Tinggi, Diploma Lanjutan, Diploma dan Sijil), 87 graduan Pearson BTEC Level 5 HND in Business (Accounting/Marketing), 28 graduan Pearson BTEC Level 5 HND in Hospitality Management, 77 graduan Pearson BTEC Level 5 HND in Computing and Systems Development, empat graduan Pearson BTEC Level 4 HNC in Computing and Systems Development, 100 graduan Pearson BTEC Level 3 Diploma in Business, 12 graduan Pearson BTEC Level 3 Diploma in Hospitality dan 99 graduan Pearson BTEC Level 2 Certificate in Business.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda