Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    59 terima alat pemadam api

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Seramai 59 peserta yang telah menyertai Skim Takaful Pemilik Kediaman Rumah dengan Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT) menerima alat pemadam api jenis debu kering 2kg dalam majlis penyampaian alat pemadam api dan tunjuk ajar penggunaan alat pemadam api yang berlangsung di Dewan Serba guna, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini.

    Majlis yang diadakan oleh IITGT dengan kerjasama JBP itu, merupakan salah satu tanda penghargaan IITGT kepada peserta-peserta serta dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai keselamatan kebakaran dan penggunaan alat pemadam api secara betul.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian alat pemadam api berkenaan kepada para penerima ialah Penolong Pengarah Perancangan, Latihan dan Kakitangan, JBP, Hajah Siti Mayang binti Haji Hussin.

    Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengurus Besar Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn Bhd, Haji Shamsul bin Haji Mohammad dan pegawai-pegawai kanan JBP.

    Di majlis berkenaan, Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH), Hajah Nornaimah binti Haji Zainip dalam kata alu-aluannya menekankan bahawa semua pihak yang berkenaan harus bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan kebakaran di rumah dan kenderaan kepada orang ramai.

    Tetamu kehormat menyampaikan alat pemadam api kepada salah seo-rang peserta.
    Hajah Nornaimah ketika menyampaikan ucapannya semasa majlis tersebut.

    Pada majlis itu juga, para peserta diberikan taklimat mengenai perlindungan Skim Takaful Kediaman Rumah yang disampaikan oleh Pemangku Pengurus Besar, IITGT, Awang Roslan bin Haji Awang Mohammad Tahir.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian alat pemadam api kepada para peserta oleh Hajah Siti Mayang dan diakhiri dengan tunjuk ajar penggunaan alat pemadam api yang betul yang telah disampaikan oleh Pejabat Perhubungan Awam, JBP

    Orang ramai adalah diingatkan untuk mengambil langkah-langkah untuk mencegah kebakaran rumah dan kenderaan. Di samping itu, mereka digalakkan untuk menyertai Skim Takaful Perlindungan Kediaman Rumah bagi mengurangkan bebanan kewangan sekiranya ditimpa musibah atau kebakaran.

    Statistik kebakaran rumah yang dihadiri oleh JBP pada 2020 adalah sebanyak 76 panggilan dan dengan adanya alat pemadam api, ia boleh mengurangkan kadar kejadian insiden kebakaran di negara ini.

    JBP dalam pada itu juga menyarankan orang ramai supaya memiliki sekurang-kurangnya alat pemadam api jenis debu kering 2kg hingga 4kg, selimut api dan alat pengesan asap bagi memberikan amaran berlakunya kebakaran dan bertindak memadamkan kebakaran kecil sebelum ia merebak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda