BALTIMORE, 30 Dis – Para pegawai berkata enam orang cedera selepas ‘kegagalan sebahagian peralatan’ melibatkan sebuah laluan pejalan kaki dan jambatan udara ‘jet bridge’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Thurgood Marshall Baltimore-Washington.
Menurut laman Twitter lapangan terbang tersebut, enam orang telah dikejarkan ke hospital malam kelmarin dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa akibat insiden yang berlaku di Pintu Masuk E-10.
Dalam satu kenyataan, Southwest Airlines berkata Penerbangan 822 baru tiba dari Punta Cana, Republik Dominic dan meminta paramedik untuk memberi bantuan perubatan melibatkan seorang penumpang.
Southwest berkata laluan jambatan udara lapangan terbang yang menghubungkan pesawat kepada terminal, jatuh ketika paramedik membantu penumpang keluar dari pesawat udara tersebut. Southwest berkata penumpang selebihnya keluar dengan selamat dari pesawat itu menggunakan tangga.
Lapangan terbang berkata pesawat itu telah dipindahkan dan tiada impak selanjutnya ke atas operasi lapangan terbang, namun siasatan masih dijalankan. – AP
