DHAKA, 4 APRIL – Beratus-ratus anggota bomba Bangladesh bergelut memadam api marak di pasar pakaian popular di ibu negara Dhaka hari ini yang telah menyelubungi kawasan kejiranan tertua di bandar itu dengan gumpalan asap hitam.
Tiada korban jiwa dilaporkan setakat ini, tetapi pemilik kedai dan pegawai bomba memberitahu wartawan bahawa Bazar Bongo yang terkenal dan tiga pasar bersebelahan hampir musnah dijilat api dalam kebakaran subuh tadi.
Keberangan memuncak pada waktu pagi dengan sekumpulan pemilik kedai membaling batu ke arah anggota bomba, marah kerana terlalu lama mengawal api.
“Kami menyuraikan mereka,” kata jurucakap polis Faruq Ahmed sambil menambah bahawa kira-kira 450 pegawai telah dikerahkan untuk menjaga ketenteraman dan menghentikan kecurian.
Ketua perkhidmatan bomba, Main Uddin memberitahu wartawan bahawa 600 anggota bomba dari seluruh bandar berjaya mengawal api selepas memadamkannya selama lebih enam jam, manakala ratusan penonton menyaksikannya dari jejantas berhampiran.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P1-4_0504202.jpg)
“Orang ramai yang berkumpul dan kekurangan air, ditambah angin kencang telah menyukarkan operasi memadamkan kebakaran, katanya.
Uddin menambah Bazar Bongo yang dibina daripada kayu dan bijih timah bagi menempatkan ratusan gerai kecil, sudah ditentukan beredpan risiko kebakaran pada 2019 dan telah berulang kali dikeluarkan surat amaran sejak itu.
Inspektor polis, Bacchu Mia berkata sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam kebakaran itu, termasuk lima anggota bomba, tetapi tidak dalam keadaan kritikal.
Pemilik berkata, empat pasar itu menempatkan beribu-ribu kedai pakaian di salah satu presint tersibuk di Dhaka, rumah kepada universiti paling berprestij di negara itu dan ibu pejabat polis.
Dibina pada tahun 1980an, Bazar Bongo ialah destinasi popular untuk jenama fesyen Barat yang murah seperti Tommy Hilfiger, menjual pakaian yang dihasilkan di kilang pakaian di bandar itu tetapi gagal memenuhi piawaian eksport.
Pemilik kedai yang kecewa memberitahu wartawan, kebakaran itu menyebabkan mereka papa kedana menjelang Aidilfitri.
“Saya meminjam 1.5 juta taka (AS$14,200) untuk membeli pakaian hari raya,” kata seorang pemilik perniagaan. Saya telah kehilangan segala-galanya,” katanya. – AFP