Saturday, May 3, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 kebaikan, khasiat timun terhadap kesihatan

    TIMUN atau mentimun merupakan tanaman sayur yang sangat mudah ditanam dan mudah diperoleh di seluruh dunia. Timun khususnya di negara kita sering disajikan sebagai ulam bersama nasi lemak dengan sambal belacan.

    Timun mengandungi pelbagai nutrisi yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan tubuh. Antara kebaikan timun terhadap kesihatan tubuh manusia ialah:

    1-Menghidratkan tubuh badan

    Sekiranya kita terlalu sibuk untuk minum air secukupnya, kita boleh terus makan timun yang sejuk kerana timun yang sejuk mengandungi 99 peratus air.

    2-Menyingkirkan toksin dalam badan

    Kandungan air yang terdapat dalam timun bertindak sebagai ‘penyapu’ yang akan membersihkan semua sisa buangan yang terdapat dalam tubuh kita. Dikatakan dengan memakan timun secara kerap, ia dapat melarutkan batu karang.

    Timun mengandungi pelbagai nutrisi yang mampu menjaga dan meningkatkan kesihatan tubuh.

    3-Membekalkan mineral kepada kulit

    Timun merupakan sayuran yang mengandungi kalium, magnesium dan silikon yang tinggi. Oleh sebab itu, kita dapat lihat kebanyakan pusat spa menggunakan timun sebagai bahan untuk kecantikan.

    4-Sumber vitamin harian

    Timun mengandungi semua jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita seharian iaitu vitamin A, B, dan C yang menggalakkan sistem imunisasi agar lebih bertenaga dan berseri. Timun ini lebih sesuai dijadikan sebagai jus minuman yang dicampurkan dengan lobak merah dan daun bayam. Jus ini elok untuk kulit kerana ia mengandungi 12 peratus vitamin C yang mana cukup untuk keperluan kulit kita dalam sehari.

    5-Dikatakan dapat merawat diabetes, mengurangkan kolestrol dan mengawal tekanan darah

    Jus timun mengandungi sejenis hormon yang diperlukan oleh pankreas untuk menghasilkan insulin yang baik kepada pesakit diabetes. Ada penyelidik telah menemui sejenis bahan sebatian yang disebut sebagai ‘sterol’ pada timun yang dapat menurunkan paras kolesterol. Timun juga kaya dengan serat, kalium dan magnesium. Bahan ini sangat efektif untuk menstabilkan tekanan darah. Oleh itu, timun sangat baik untuk merawat tekanan darah tinggi mahupun tekanan darah rendah.

    6-Membantu buah pinggang berada dalam keadaan baik

    Timun mampu merendahkan paras asid urin dalam tubuh kita sekali gus mampu memastikan buah pinggang kita sentiasa dalam keadaan baik.

    Anda kini sudah mengetahui kebaikan dan khasiat daripada timun ini, jadi bolehlah selalu ambil sayur ini dalam hidangan harian. Selain dimakan segar atau dijadikan sebagai jus, timun juga boleh dimasak dengan pelbagai cara hidangan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda