Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Dengan matlamat utama untuk meningkatkan kesedaran awam ke arah usaha pengamalan gaya kehidupan yang lebih sihat secara menyeluruh, program penurunan berat badan yang lebih dikenali sebagai Fit & Active Lifestyle Club (FALC) di bawah Program Tempat Kerja dan Kesihatan (WAH) bakal membuka tirai musim pertama bagi enam buah kementerian yang terpilih.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan telah menandatangani kontrak bersama tiga pakar kesihatan dan enam studio kecergasan yang telah dicalonkan sebelumnya yang berlangsung kelmarin.
Pada majlis penandatanganan berkenaan, Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Dr Hajah Norhayati binti Haji Kassim bersama Ketua Pengurusan Pusat Promosi Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Kamis telah mewakili Kementerian Kesihatan.
Pakar-pakar kesihatan yang dipilih terdiri daripada ahli psikologi dari Clarity Sdn Bhd, ahli perubatan dari Klinik Rayyan Baharin dan pakar zat makanan dari Gleneagles JPMC Sdn Bhd.
Sementara itu, beberapa studio kecergasan telah diperuntukan bagi peserta-peserta daripada enam kementerian yang terpilih iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.