6 lagi entiti disenaraikan Alert List AMBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Sebanyak enam lagi entiti telah dimasukkan ke dalam Alert List Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) bagi pengemaskinian bagi bulan Julai ini.

Enam entiti tersebut ialah Akim (8645376)/Loan Barang Ambil Cash Brunei (FB Profile), Hector Trade, Lockdown20, Siti Amanina Awang (8320568) dan Rejeki BN (FB Profile).

Menurut kenyataan AMBD, di sini, Alert List AMBD adalah senarai individu, syarikat dan laman web yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan akan berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Senarai ini adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.

Sehubungan itu, AMBD ingin menasihati orang ramai supaya tidak berurusan dengan mana-mana entiti atau individu yang menjalankan aktiviti-aktiviti kewangan yang tidak berlesen atau yang disyaki mengandungi unsur-unsur skim cepat kaya dan skim piramid.

Antara perkhidmatan-perkhidmatan di bawah bidang kuasa AMBD termasuk penukaran wang, pengiriman wang dan pinjaman wang. Jika berurusan dengan entiti atau syarikat atau individu yang tidak dikawal selia oleh AMBD, orang ramai tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir oleh AMBD.

AMBD juga akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan pelindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di negara ini serta terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen.

Alert List AMBD yang telah dikemaskinikan boleh didapati melalui laman web AMBD di www.ambd.gov.bn. Senarai syarikat-syarikat dan individu-individu yang dilesenkan oleh AMBD juga boleh didapati di laman web yang sama.

Sebarang maklumat mengenai aktiviti yang tidak berlesen, orang ramai boleh menghubungi AMBD melalui talian 2380007 atau emel melalui [email protected]