KABUL, 19 APRIL – Letupan menyasarkan institusi pendidikan membunuh sekurang-kurangnya enam orang, termasuk pelajar dan mencederakan 17 lagi yang lain hari ini di sebuah kejiranan Syiah di ibu negara Afghanistan, kata polis.
Letupan yang berlaku secara serentak, masih disiasat dan lebih banyak kematian dikhuatiri berlaku, menurut jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran dan unit kecemasan hospital di bandar itu.
Sebahagian yang cedera dalam keadaan serius dan beberapa lagi yang lain sudah pun dirawat dan dibenarkan keluar hospital.
Letupan berlaku di dalam Sekolah Menengah Abdul Rahim Shaheed dan berhampiran Pusat Pendidikan Mumtaz beberapa kilometer jaraknya, kedua-duanya dalam kejiranan dominan Syiah, Dasht-e-Barchi. Tiada laporan segera mengenai angka kematian di Pusat Pendidikan Mumtaz. Pengawal di jalan sempit menuju ke sekolah dua tingkat itu mengatakan mereka melihat 10 kematian. Di dalam sekolah, seorang jurnalis video Associated Press (AP) melihat percikan darah di dinding, buku nota terbakar dan kasut kanak-kanak.
AP bercakap kepada beberapa pengawal peribadi di kawasan tersebut namun mereka enggan memberikan nama, khuatir mendapat akibat dari pasukan keselamatan Taliban yang mengawal kawasan tersebut.
Pengebom nekad tampaknya meledakkan dirinya di dalam perkarangan luas institusi pendidikan itu yang boleh menempatkan sehingga 1,000 pelajar, menurut saksi. Tidak jelas berapa ramai pelajar berada di sekolah pada masa letupan berlaku.
Setakat ini, tiada siapa mengaku bertanggungjawab. Kawasan itu juga pernah menjadi sasaran pada masa lalu oleh cabang kumpulan Islamic State Afghanistan, yang lebih menyokong Syiah Muslim. – AP
