BEIJING, 10 DIS – Sebuah bengkel yang dibina daripada kepingan keluli roboh di selatan China, membunuh enam orang dan mencederakan tiga yang lain, kata pihak berkuasa.
Siasatan sedang dijalankan untuk mencari punca kemalangan kelmarin di wilayah Guizhou. Tiga orang yang cedera masih dirawat di hospital setakat kelmarin dan tiada maklumat terkini mengenai keadaan mereka hari ini.
Bangunan runtuh bukan perkara luar biasa di China, di mana struktur kadangkala dibiarkan tanpa mendapat permit yang sah dan piawaian keselamatan sering diabaikan.
Penambahan lantai tambahan secara haram dan kegagalan menggunakan tetulang sering menjadi punca bencana tersebut.Peningkatan kejadian runtuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mendorong gesaan daripada pemimpin China, Xi Jinping untuk menjalani pemeriksaan tambahan untuk mengenal pasti kelemahan.
Dalam kejadian terburuk beberapa tahun kebelakangan ini, sebuah bangunan runtuh di tengah China pada April 2022 dan mengorbankan 53 orang.
Lantai tambahan telah ditambah tanpa kebenaran atau penggunaan kaedah pembinaan yang betul.
Keselamatan industri secara amnya masih menjadi masalah utama, diburukkan lagi oleh infrastruktur yang usang, latihan keselamatan yang lemah dan hasrat untuk mengambil jalan pintas untuk menjimatkan kos. – AP


