Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 Maut akibat kabus tebal

    NEW DELHI, 30 DIS – Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk dua kanak-kanak, maut manakala lima lagi cedera apabila kenderaan yang mereka naiki terhumban ke dalam sebuah terusan di negeri Uttar Pradesh di utara India pada lewat Ahad malam, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

    Nahas itu dilaporkan berlaku susulan kabus tebal di daerah Greater Noida yang menyebabkan kenderaan malang tersebut terbabas disebabkan tahap penglihatan yang buruk sebelum terhumban ke dalam terusan.

    “Sejumlah 11 orang berada dalam kereta Maruti Ertiga itu, yang terhumban ke dalam terusan Kherli di kawasan Dankaur.

    Mereka telah dikejarkan ke sebuah hospital dan doktor telah mengisytiharkan bahawa enam daripada mereka meninggal dunia manakala lima yang lain sedang menjalani rawatan,” lapor media yang memetik kenyataan seorang jurucakap polis negeri.

    Kabus tebal telah dilihat di banyak bahagian di utara India, yang mengakibatkan tahap penglihatan yang buruk dan menyebabkan sejumlah besar penerbangan serta perjalanan kereta api ditangguhkan. – Bernama

    Penumpang menunggu kereta api dalam kabus tebal di New Delhi, India, 30 Disember. Ibu negara India dan beberapa bahagian di seluruh negara menyaksikan cuaca sejuk paling lama dalam masa 22 tahun, mengakibatkan tujuh maut dalam kejadian kemalangan di Uttar Pradesh apabila kereta mereka terhumban ke dalam sebuah terusan akibat kabus tebal. –AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda