Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Tujuh lelaki dan seorang wanita telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan dengan pertuduhan mencuri kabel hingga menyebabkan gangguan pada penyedia perkhidmatan utama.
Enam defendan iaitu Mohammad Ali Hassan bin Haji Idris, Norfaizah binti Abdul Hamid, Muhammad Haziman Azmi bin Hamzah, Muhammad Haziman Azrul bin Muhd Nurudin, Mohammad Faiq bin Haslan dan Muhammad Faizul Iskandar bin Muhammad Fadhli mengaku bersalah atas pelbagai pertuduhan melakukan beberapa siri pencurian kabel dan menyebabkan kerosakan hingga menjejaskan penyedia perkhidmatan utama di Kuala Belait dari bulan Julai hingga September.
Mereka juga mengaku bersalah terhadap satu lagi siri pertuduhan mencuri kenderaan dan khianat dengan menyebabkan kerosakan pada kenderaan dicuri yang juga berlaku di Kuala Belait.
Enam defendan juga bersetuju supaya mahkamah dapat mempertimbangkan beberapa lagi kesalahan sebelum menjatuhkan hukuman.
Sementara itu, dua defendan Khairul Anuar bin Abdullah @ Yazih bin Dian dan Mohammad Eswandy bin Hamir telah menafikan semua pertuduhan yang mereka hadapi berhubung pencurian kabel.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar telah menangguhkan hukuman terhadap enam defendan yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu sehingga 11 Januari 2023.
Sementara itu, dua defenden yang menafikan pertuduhan terhadap mereka akan ditetapkan tarikh perbicaraan pada 28 Disember ini.
Kesemuanya defendan adalah warga tempatan, kecuali Muhammad Faizul Iskandar yang merupakan penduduk tetap.
Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad dan Nur Zahidah Farhanah Abdul Aziz.

