MILAN, 7 JULAI – Kebakaran di sebuah rumah persaraan pada awal pagi hari ini di Milan membunuh enam orang, kata anggota bomba, dengan ‘ramai’ penduduk dimasukkan ke hospital.
“Enam orang terbunuh, ramai (yang lain) menderita akibat terhidu asap dimasukkan ke hospital. Berpuluh-puluh orang diselamatkan oleh anggota bomba yang segera mengosongkan bangunan itu,” kata pasukan bomba di Twitter.
Seorang jurugambar AFP melihat mayat dua mangsa dikeluarkan dari bangunan tiga tingkat yang dilaporkan menempatkan 167 orang ketika kebakaran bermula.
Punca kebakaran belum diketahui, kata bomba.
Lebih 10 ambulans, pelbagai trak bomba dan sebuah van mayat dapat dilihat di luar bangunan di selatan bandar Itali itu.
Kira-kira 80 orang dikejarkan ke hospital, dua daripadanya bertarung nyawa, kata ketua bomba Milan Nicola Micele.
Kira-kira 14 yang lain berada dalam keadaan serius, kata media Itali.

Lima daripada mangsa korban adalah wanita berusia antara 69 dan 87 tahun, manakala yang keenam adalah lelaki berusia 73 tahun, kata laporan itu.
Datuk Bandar Milan, Giuseppe Sala berkata, kebakaran “bermula dalam satu bilik menempatkan dua penduduk wanita”, kedua-duanya terbunuh akibat api.
“Ia tidak merebak, malah tidak ke bilik jiran, tetapi asapnya membawa maut dan empat lagi mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap”.
Ketua bomba, Micele memberitahu berita Rai bahawa kakitangan menaikkan penggera pada 1:20 pagi (2320 GMT Khamis), selepas melihat asap.
“Empat pasukan bomba segera dihantar. Mereka mendapati diri mereka berhadapan dengan jarak penglihatan yang sangat rendah di koridor di dalam satu bahagian bangunan, dan api dalam satu bilik”.
“Mereka memberi tumpuan untuk memadamkan api, kemudian memindahkan tetamu.
“Ia adalah pemindahan yang sangat rumit kerana asap dan kerana beberapa tetamu tidak dapat berjalan.”
Penduduk terpaksa dipindahkan “dengan dibawa, hampir setiap satu dan pada satu masa,” kata datuk bandar Sala.
Majlis sedang berusaha untuk segera menempatkan semula orang di rumah persaraan lain yang sesuai.
Rumah persaraan ‘Casa per Coniugi’ yang dikendalikan secara persendirian memenuhi keperluan mereka yang tidak berdikari tetapi tidak memerlukan penjagaan hospital. – AFP

