Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Enam mahasiswa dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB) berlepas ke Beijing, China untuk menyertai lawatan sambil belajar di bawah Program Seeds for the Future 2019, selama dua minggu di mana mereka akan melawat ke Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen, China bermula 28 Jun hingga 13 Julai.
Rombongan mahasiswa berkenaan terdiri daripada tiga pelajar UTB iaitu Dayangku Nur Su’aidah binti Pengiran Haji Metussin, Dayang Nurul’ Ain Mardhiyah binti Haji Mohd Sofri Khan dan Melanie Chua Jing Wenn serta tiga dari UBD iaitu Awang Muhammad Nafi Aqmal bin Haji Noh, Awang Muhammad Muqri bin Moss dan Foo Yeun Ming.
Mengulas mengenai program itu, Foo Yeun Ming menyatakan bahawa beliau berharap untuk melihat dan mempelajari mengenai budaya korporat serta menyaksikan sendiri teknologi terkini yang dihasilkan oleh Huawei khususnya dalam pembangunan sektor telekomunikasi 5G. Manakala itu, Dayang Nurul’Ain Mardhiyah berharap dengan penyertaannya dalam program berkenaan akan dapat membantunya untuk berfikir secara kreatif dan untuk menimba ilmu pengetahuan serta pengalaman mengenai perkembangan teknologi-teknologi canggih di China.
Program Seeds for the Future merupakan program tanggungjawab sosial korporat Huawei terbesar di mana Huawei memanfaatkan teknologi ICT terkini untuk membantu melahirkan profesional dan pakar ICT dan telekom bagi industri Brunei di mana Huawei terus komited untuk menyokong pembangunan industri ICT Brunei menerusi pemindahan ilmu pengetahuan dan pendidikan ICT.
Sejak dilancarkan di Negara Brunei Darussalam pada 2015, Program itu telah menyaksikan seramai 26 pelajar dari Brunei menyertai program berkenaan.
Program yang ditaja sepenuhnya oleh Huawei Brunei akan mendedahkan para pelajar mengenai pengkomputeran awan, Internet of Things (IoT), teknologi 5G dan pelbagai teknologi-teknologi terkini menerusi bengkel-bengkel teknologi serta acara-acara pembinaan rangkaian.
