Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa (ISMS) ke-15 telah dirasmikan oleh Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.
Majlis perasmian di Bangunan Tambahan PAPRSB IHS, UBD, itu telah disempurnakan oleh Duta Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Yutaka Kikuta, selaku tetamu kehormat majlis.
Program pertukaran pelajar tahunan yang diadakan dengan kerjasama Universiti Kagawa, Jepun itu telah memberi peluang kepada enam pelajar jurusan perubatan Universiti Kagawa untuk mengalami kehidupan pelajar di UBD serta mengenali budaya dan tradisi Brunei, di samping membina persahabatan antarabangsa serta meningkatkan kemahiran klinikal dan komunikasi.
Enam pelajar perubatan dari Fakulti Perubatan Universiti Kagawa terdiri daripada Kazuki Umachi, Misaki Takahashi, Naomi Urayama, Sakurako Okumura, Yui Fukui dan Yuka Shiraishi.
Sejajar dengan komitmennya, UBD terus menyediakan pendedahan antarabangsa kepada pelajarnya bagi mendapatkan perspektif yang lebih baik tentang isu-isu global dan memupuk penghargaan terhadap budaya dan agama lain.
Di majlis itu, salah seorang penyelaras Program ISMS ke-15, Dr Poh Hui Goh telah menekankan kepentingan program ini dalam memperkaya pengalaman pertukaran pelajar, baik untuk UBD mahupun Universiti Kagawa.
Manakala Dekan PAPRSB IHS, Profesor Kenneth Yuh Yen Kok antara lain menekankan kepentingan kerjasama yang berterusan di antara kedua-dua institusi.
Program ISMS ke-15 merupakan kesinambungan yang membanggakan bagi kerjasama lama antara UBD dan Universiti Kagawa.
Sempena ulang tahun ke-40 UBD, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan akademik dan budaya, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan UBD dalam memupuk profesional penjagaan kesihatan yang kompeten secara global.



