Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Enam pelajar sarjana dari Fakulti Kejuruteraan dan Sekolah Perniagaan Universiti Teknologi Brunei (UTB), kelmarin, telah berlepas ke Amerika Syarikat (AS) bagi mengikuti program latihan selama enam bulan di Piper Aircraft Inc. di Florida di bawah program ExperiencePLUS UTB.
Kumpulan berkenaan adalah kohort pelatih ke-10 ke Piper sejak perkongsian pendidikan antara UTB dan Piper Aircraft Inc. bermula pada 2013.
Pelajar yang dipilih, Awang Mohammad Aminuddin bin Mohammad Damarol, Awang Muhammad Syafiq bin Haji Suni, Adrian Kok Voon Li, Awang Mohammad Alif Shauki bin Mohammad Supri, Dayang Insyirah Islam binti Mohammad Taib dan Dayang Nur Syafiqa Haziqah binti Mohd Noh telah mencatat prestasi cemerlang dari segi dalam akademik dan proses pemilihan yang ketat dijalankan oleh Piper dan universiti.
Rombongan pelajar itu diiringi oleh seorang kakitangan akademik, Penolong Profesor Kanan dari Sekolah Pengkomputeran dan Informatik, Dr Hajah Wida Susanty binti Haji Suhaili.
Hadir untuk mengucapkan selamat belayar Timbalan Pendaftar (Akademik), UTB, Dayang Elizah binti Radin Ismail; Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Muhammad Aqwa Abbas Haji Omar Dani; Dekan, Fakulti Kejuruteraan, Dr Tan Soon Jiann; Timbalan Dekan (Penyelidikan), Fakulti Kejuruteraan, Dr Mohammad Yeakub Ali.
Sepanjang mengikuti latihan di Piper, pelajar akan mendapat pendedahan industri selain meningkatkan kemahiran praktikal dan perindustrian sebagai sebahagian daripada kajian sarjana mereka.
Sementara itu, kakitangan yang mengambil bahagian akan mendapat manfaat daripada peluang berharga untuk pemindahan pengetahuan dan pembangunan profesional, penting dalam menyokong rancangan strategik UTB untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa.
UTB dan Piper menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk program pelatih pada tahun 2013.
Piper Aircraft Inc., pengeluar pesawat utama dalam industri penerbangan awam, dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi Brunei Darussalam dan beribu pejabat di Vero Beach, Florida.
