Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 peserta Brunei ke Jepun

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Dengan matlamat untuk mendalamkan lagi pengetahuan mengenai teknologi tenaga Jepun, enam peserta dari Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Jepun hari ini bagi menyertai Pertukaran Teknologi Tenaga Brunei-Jepun JENESYS.

    Sehubungan itu, hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar kepada kumpulan peserta program pertukaran itu ialah Kuasa Usaha Interim Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam, Suda Atsushi.

    Para peserta program pertukaran berkenaan terdiri daripada Dayang Siti Nurrohiidah binti Haji Abdul Aziz, Awang Muhammad Azizi Johari dan Sharifah A’tikah Wan Zainal Abidin dari Brunei LNG, Dayang Nur Farahiah binti Awang Tengah dan Dayangku Fairuz binti Pengiran Kamis dari Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Dayang Nurmaliza binti Ramli dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, JPM.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayangku Fairuz berkata mereka ingin mengetahui mengenai teknologi tenaga di Jepun serta bagaimana kepakaran Jepun dalam penggunaan tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan secara kos efektif.

    Di samping itu, mereka juga berharap untuk mempelajari bagaimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui diguna pakai di peringkat akar umbi di mana ia juga boleh dilaksanakan di kampung-kampung di Brunei bagi mengikuti jejak kejayaan penggunaan tenaga hijau di Jepun.

    Pada masa yang sama, mereka turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Jepun yang memberi mereka peluang untuk menyertai program berharga itu.

    Semasa program selama tujuh hari itu, para peserta akan diberikan taklimat oleh Agensi bagi Sumber-sumber Asli dan Tenaga di samping akan mengadakan lawatan ke beberapa tapak tenaga termasuk Wilayah Nagano.

    Suda Atsushi bergambar ramai bersama para peserta program. – Gambar Sim Y.H
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda