6 sekolah terima pingat emas

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Enam buah sekolah diumumkan sebagai penerima pingat emas dalam Pertandingan Olimpiad Sains dan Matematik Peringkat Nasional bagi tahun 2017 di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Jabatan Perkembangan Kurikulum di Kementerian Pendidikan, di sini.

Hadir menyampaikan hadiah pada majlis anjuran Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Zulkifli bin Haji Muhammad Yusuf yang hadir bagi pihak Pengarah Jabatan Perkembangan Kurikulum, Haji Abdul Rahman bin Haji Nawi.

Pada tahun ini, Pusat STEP hanya melibatkan penyertaan pelajar peringkat sekolah rendah saja dan daripada 90 pelajar hanya 25 layak memasuki pusingan kedua yang mana pertandingan telah diadakan pada 24 dan 25 Mei 2017 yang lepas.

Perkara ini dijelaskan oleh Pemangku Ketua Pusat STEP, Dayang Sarimah binti Abu Bakar semasa berucap majlis itu dan seterusnya menambah, antara objektif pertandingan itu adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menunjukkan potensi mereka dalam bidang matematik dan sains.

Salah seorang peserta Pertandingan Olimpiad Sains dan Matematik Peringkat Nasional menerima sijil dan hadiah mereka daripada tetamu kehormat majlis.
Salah seorang peserta Pertandingan Olimpiad Sains dan Matematik Peringkat Nasional menerima sijil dan hadiah mereka daripada tetamu kehormat majlis.

Di samping itu juga bagi meningkatkan bakat serta minat pelajar sekolah rendah dan menengah dalam mata pelajaran matematik dan sains, selain memberi motivasi kepada pelajar dalam meningkatkan kapasiti intelektual dan kemahiran berfikir dalam kedua-dua mata pelajaran ini.

Menurutnya lagi, dengan objektif dan bentuk soalan yang selaras dengan pertandingan di peringkat antarabangsa, ia diharapkan akan memberi pendedahan kepada pelajar dengan standard pertandingan di luar negara.

“Pusat STEP mengharapkan supaya penyertaan dan penglibatan sekolah, guru dan pelajar akan meningkat di tahun-tahun akan datang,” jelasnya.

Beliau seterusnya berharap, segala perancangan akan berjalan dengan lancar di mana pemenang yang layak akan dicalonkan untuk menyertai Olimpiad Matematik dan Sains Antarabangsa (IMOS) yang akan diadakan di Singapura pada November akan datang.