Oleh Normazlina M.D
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Lima mahasiswa dan seorang pensyarah dari Program Kesusasteraan Melayu, Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghadiri Seminar Antarabangsa Pengajian Lepasan Ijazah kali ke-4 (SAPLI 2017) di Hotel De Palma Shah Alam, Selangor, Malaysia selama dua hari yang berakhir hari ini.
Seminar anjuran bersama di antara Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Antara-bangsa Selangor (KUIS) dan Pusat Pengajian Lepas Ijazah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) merupakan acara tahunan kedua-dua universiti berkenaan yang diadakan secara selang seli yang mana pada tahun lepas UNISSA telah menjadi tuan rumah mengadakan seminar tersebut di Negara Brunei Darussalam.
Semasa seminar itu juga, salah seorang calon PhD Kesusasteraan Melayu UBD, Awang Syahwal Nizam bin Haji Yani dan Pensyarah Kesusasteraan Melayu UBD, Dr. Maslin bin Haji Jukim @Jukin turut menyampaikan pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Unsur Alam dalam Kumpulan Puisi Perjalanan Kembali 20 Musim Karya Yahya M.S’.
Adapun antara tujuan seminar itu dijalankan adalah untuk memantapkan diri mahasiswa dan mahasiswi dengan amalan dan budaya membaca untuk menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P11-A_031117.jpg)