JAKARTA, 9 April – Polis Indonesia menembak mati enam militan yang disyaki berkaitan dengan kumpulan Islamic State (IS) dalam satu pertempuran senjata di pulau Jawa pada hujung minggu, kata jurucakap polis hari ini.
Tujuh lelaki memandu ke pos kawalan polis trafik pada Sabtu dan melepaskan tembakan kepada para pegawai. Tiada sesiapa yang mengalami kecederaan namun berlaku adegan kejar-mengejar kereta.
Tujuh lelaki itu kemudian meninggalkan kenderaan mereka dan lari ke kawasan pertanian di Tuban, Jawa Timur.
“Apabila polis tempatan menyerbu ke kawasan berkenaan, berlakulah kejadian berbalas-balas tembakan yang mengorbankan enam lelaki,” kata jurucakap polis negara, Rikwanto.

Pasukan polis berjaya menangkap seorang anggota kumpulan itu hidup-hidup.
Polis mendakwa penyerangnya mempunyai hubungan dengan salah satu rangkaian Jamaah Ansharut Daulah (JAD) yang berkaitan dengan IS, telah disalahkan bagi beberapa siri serangan baru-baru ini di Indonesia termasuk seorang di Jakarta Januari lepas. – AFP