Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Enam orang peserta yang terdiri daripada penerima bantuan bulanan telah berjaya menamatkan Program Mentoring FEED anjuran Projek FEED dan menerima sijil masing-masing pada majlis graduasi, baru-baru ini.
Para peserta yang diraikan telah menerima sijil pencapaian, beg cenderahati daripada LANEIGE serta modal sebanyak $300 untuk membantu mereka dalam perniagaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Projek FEED, pada program selama enam bulan yang bermula September 2020 hingga April 2021 itu, para peserta dibimbing oleh mentor-mentor daripada pelbagai latar belakang dengan tujuan untuk memajukan perniagaan mereka melalui peningkatan diri, teknikal dan menambah baik lagi pola pemikiran.
Di samping itu, ia juga sebagai medium untuk peserta berkenalan dengan peserta lain yang juga mempunyai perniagaan sendiri.
Salah seorang peserta program, Awang Muhammad Khairul Adziym bin Mohd Said dipetik melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan dan bimbingan dan panduan dalam perniagaan.

Beliau juga mengucapakan terima kasih kepada mentor yang berprestij mengikuti program berkenaan di mana beliau telah dipilih sebagai peserta terbaik bersama Inih Warsinih binti
Makmuri yang mempunyai warung nasi katok.
Majlis tersebut ditaja oleh Qafa Haus, Kurta Firdaus, Kadai Jam Brunei dan LANEIGE.
Sementara itu, program Mentoring telah ditaja dan disokong oleh Imagine Sdn Bhd, Beverages by Wafi, Oddbox, Shine & Cycle, Lily Imani Group of Companies, Harta Jummahh Management serta Hanafi Konsaltan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Projek FEED, Dayang Norsuziyani Binti Abdullah dipetik sebagai berkata, tujuan utama program berkenaan adalah untuk mengembangkan kemahiran keusahawanan dalam kalangan peserta bersama mentor-mentor yang merupakan usahawan berjaya.
“Matlamat program ini juga adalah untuk membantu dalam membanteras kemiskinan melalui perkembangan perniagaan sehingga mampu menghasilkan pendapatan yang lestari,” jelasnya.
Projek FEED akan meneruskan misi mereka dengan pencarian peserta bagi kumpulan kedua Program Mentoring.