KALAU tengah sedap tidur dibuai mimpi, lepas itu tiba-tiba terdengar bunyi nyaring seperti benda terbang di tepi telinga, kulit badan pula tiba-tiba rasa gatal, mesti rasa hendak marah bukan? Lebih-lebih lagi apabila balik kampung, kalau tak pasang ubat nyamuk, tidak sah.
Lagipun pada masa ini, bermacam-macam jenis penyakit yang dibawa oleh nyamuk seperti demam denggi, zika, malaria, Japanese encephalitis dan banyak lagi. Jadi, sebelum anda atau ahli keluarga dijangkiti penyakit yang boleh membawa maut ini, amalkan lima tip berikut untuk mengelak diri daripada gigitan nyamuk:
1-Gunakan kelambu
Pada kurun ke-18, kain kelambu digunakan oleh ratu Mesir terkemuka, Cleopatra untuk mengelak diri digigit nyamuk. Ketika itu, hanya keturunan diraja dan saudagar kaya sahaja mampu untuk memasang kelambu di katil.
Kelambu adalah salah satu cara paling efektif untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Pada masa ini pelbagai jenis kelambu telah dijual di pasaran.

2-Semburan nyamuk
Nyamuk paling aktif dan berleluasa pada waktu subuh dan senja. Apabila menjelang waktu Maghrib, anda semburlah kawasan rumah menggunakan semburan aerosol nyamuk yang ada di rumah. Sembur menghala ke siling, fokus pada tempat yang gelap seperti bawah tangga ataupun bahagian belakang sofa hitam, kemudian tutup semua pintu dan tingkap.
Jangan sembur ke tempat yang selalu dipegang seperti meja atau kabinet dapur dan pastikan semua makanan ditutup rapat sebelum menyembur.
3-Gunakan ubat nyamuk
Sebelum anda masuk tidur, pasanglah ubat nyamuk. Pelbagai jenis ubat nyamuk ada dijual di pasaran. Kalau anda rasa ubat nyamuk jenis lingkaran itu berbahaya, bolehlah membeli yang jenis elektrik. Bagi yang mempunyai anak kecil, disarankan menggunakan yang elektrik dan dipasang di tempat yang tinggi sedikit.
4-Losen anti nyamuk
Kalau anda rajin dan ada bajet, anda bolehlah membeli losen penghalau nyamuk yang mengandungi DEET (diethyltoluamide). Walaupun losen ini sangat berkesan, namun masih ramai pengguna berasa khuatir dan ragu-ragu dengan keselamatannya kerana mengandungi bahan kimia berbahaya.
Sebagai pengguna bijak, anda boleh semak terlebih dahulu sebelum membeli. Sekiranya kandungan DEET melebihi 30 peratus, elakkan membeli kerana ini boleh memudaratkan.
Selain itu, menurut satu kajian pada tahun 2015, saintis mendapati bahawa bahan lebih organik seperti picadrin dan lemon eucalyptus lebih efektif daripada losen DEET. Cari produk yang mengandungi 20 peratus picadirin ataupun 30 peratus minyak lemon eucalyptus.
5-Pastikan tiada air bertakung
Sedikit sahaja takungan air pun sudah boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk secara besar-besaran. Tahukah anda, seekor nyamuk Aedes bolah menghasilkan kurang 100 telur pada satu-satu masa. Jadi, cara paling berkesan untuk membasmi pembiakan nyamuk adalah dengan memastikan tiada tempat air bertakung di rumah anda. Periksa kawasan luar rumah seperti pasu, sinki dan longkang. Sekiranya nampak takungan air, bersihkan dengan kadar segera. Buang semua sampah-sarap seperti tin dan plastik yang boleh menadah air hujan tanpa anda sedari.
6- Petua orang dahulu
Gunakan limau nipis dan bunga cengkih. Petua ini bergantung kepada jenis nyamuk juga. Diceritakan bahawa nyamuk hutan tidak akan mengendahkan petua ini mungkin kerana mereka lebih ‘kuat’ berbanding nyamuk bandar yang berkeliaran di rumah-rumah orang.