6 warga Palestin lolos dari penjara Israel

BAITULMAQDIS, 6 SEPT – Enam warga Palestin melarikan diri dari penjara di utara Israel hari ini menerusi terowong yang dikorek di bawah sinki.

Tindakan itu mendorong pihak berkuasa Israel melancarkan usaha memburu enam warga Palestin itu, yang

turut membabitkan seorang yang didakwa oleh Israel sebagai bekas militan utama.

Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) dalam satu kenyataan berkata, penduduk berhampiran Penjara Gilbos melihat ‘individu mencurigakan’ sekitar jam 3 pagi waktu tempatan, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

IPS mengesahkan antara warga Palestin yang berjaya melarikan diri itu termasuk Zakaria Zubeidi, yang didakwanya seorang pemimpin militan utama dari bandar Jenin di Tebing Barat yang diceroboh.

Dia adalah bekas ketua Briged Syahid Al-Aqsa dan individu yang amat dikenali dalam kalangan warga Palestin dan Israel.

Kenyataan IPS dan polis memaklumkan bahawa operasi pencarian besar-besaran telah dijalankan yang membabitkan anggota polis, tentera dan pasukan khas.

Anjing pengesan dan aset udara turut digunakan dalam pencarian itu, selain sekatan jalan raya juga dilaksanakan di kawasan sekitarnya.

IPS turut menerbitkan video yang menunjukkan satu terowong kecil dikorek di bawah sinki. – AFP

Anggota keselamatan Israel memeriksa dokumen pekerja Palestin, yang bekerja di Israel, sebelum membenarkan mereka menyeberangi memasuki bandar Jenin selepas enam banduan Palestin melarikan diri dari penjara Israel kelmarin. – AFP