Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 warga tempatan terima sijil penghargaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Tindakan pantas sekumpulan enam orang lelaki yang berjaya untuk memadamkan kebakaran pada sebuah kereta di Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Katok B sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian mendapat pujian serta penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

    Sehubungan dengan itu, JBP telah memberikan Sijil Masyarakat Berjasa sebagai penghargaan kepada enam lelaki berkenaan iaitu Pengiran Abu Bakar bin Pengiran Haji Mohammad, Awang Azman bin Salleh, Awang Ibrahim bin Haji Ahmad, Awang Hifdzul Hakim bin Amir Anuar, Awang Abdul Hafiz bin Haji Awang Ahmad dan Awang Mohammad Noorsaifuddin bin Haji Awang Ahmad.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi A, JBP, di sini, sijil-sijil telah disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi A, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Awang Noor Aflan bin Awang Kachi.

    Turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Awam Operasi A, Pegawai Balai Pengiran Haji Muhamad bin Pengiran Tengah dan Penolong Pegawai Balai Ali Yusuf bin Haji Matzin.

    Kenyataan menyatakan bahawa kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu, jam 5:33 petang di STKRJ Kampung Katok B di mana sebuah kereta terbakar di bahagian bonet belakang dan sebuah lagi terkena bahang kebakaran. Kereta itu dimiliki oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang semasa kejadian berada di dalam rumah.

    Kenyataan menjelaskan lagi bahawa enam lelaki warga tempatan yang berhampiran iaitu jiran pemilik kereta telah memberikan bantuan memadam kebakaran itu dengan menggunakan air paip melalui hos getah dan selimut api sebelum anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian.

    JBP dalam kenyataan itu lagi, menasihatkan orang ramai supaya dapat memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan, memastikan tiada sebarang kebocoran pada pam yang boleh memudahkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    Mereka juga dinasihatkan untuk memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah.

    Mereka turut dinasihatkan jika berlaku sebarang insiden kecemasan hendaklah menghubungi terus Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dengan memberikan maklumat yang tepat.

    Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat Awang Noor Aflan menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa kepada enam orang lelaki warga tempatan atas tindakan pantas mereka memadamkan kebakaran pada sebuah kereta, baru-baru ini. – Gambar oleh JBP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda