Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 ‘wira’ terima sijil

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Tindakan pantas enam orang pekerja Pusat Membeli-belah Onecity memadamkan kebakaran hutan di belakang bangunan tersebut pada 23 Februari lalu telah mendapat penghargaan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) yang menyerahkan Sijil.

    Masyarakat Berjasa kepada para pekerja berkenaan, hari ini.

    Mereka ialah Dayang Nur Hana Azimah binti Mohd Alif Syafiq, Awang Muizzuddin bin Abdullah, Awang Mohd Nazmi bin Mohd Azimi, Awang Mohammad Azri bin Haji Johari, Andy Junior dan Wiyanto telah menerima sijil yang disampaikan oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Pengiran Azizul Rahman bin Pengiran Haji Yusop.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi C, Daerah Brunei Muara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, sijil penghargaan tersebut diberikan atas tindakan pantas keenam-enam pekerja memadamkan kebakaran hutan daripada merebak dengan menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan anggota bomba dan penyelamat.

    Tindakan itu merupakan tindakan yang wajar bagi mengurangkan kadar kebakaran dan kerugian harta benda akibat kebakaran yang boleh dipadamkan oleh orang awam jika keadaan selamat tanpa mengambil risiko peribadi.

    Tambahan lagi, ketika ini Negara Brunei Darussalam sedang mengalami cuaca panas, kering dan berangin di mana dari Januari hingga kini, JBP telah menerima lebih dari 308 panggilan kebakaran hutan dan rumput di seluruh negara yang melibatkan lebih daripada 330 hektar hutan dan rumput terbakar iaitu bersamaan dengan 369 buah padang bola.

    Dalam kenyataan itu juga, JBP menyarankan kepada orang ramai untuk memadamkan kebakaran jika ia selamat dan tidak membahayakan, tidak membuat pembakaran terbuka dan jika mereka ternampak asap atau kebakaran yang mencurigakan, terus hubungi talian kecemasan Bomba 995 serta memberi maklumat yang tepat.

    Pengiran Azizul Rahman bergambar ramai bersama para penerima sijil pada majlis berkenaan. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda