PHNOM PENH, 18 JULAI – Kira-kira 60 biji telur buaya siam yang jarang ditemui telah menetas di Kemboja, sekali gus memberikan harapan kepada salah satu reptilia yang paling terancam di dunia, menurut kenyataan ahli pemuliharaan hari ini.
Lima sarang buaya siam ditemui di Taman Negara Cardamom di Kemboja pada pertengahan Mei lalu, menurut Kementerian Alam Semula jadi dan Pertanian Kemboja dalam satu kenyataan bersama dengan kumpulan pemuliharaan flora dan fauna.
Sarang yang mengandungi 106 biji telur, yang mana 66 daripadanya subur, dan sejumlah 60 biji telur buaya siam telah menetas antara 27 dan 30 Jun, menurut kementerian.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa kawasan ini adalah habitat utama buaya semula jadi, memberikan harapan kepada pemulihan spesies ini,” tambah kenyataan.
Penyelidik berkata terdapat kira-kira 1,000 ekor buaya siam di seluruh dunia, termasuk 300 di alam liar di Kemboja.
Menteri Alam Semula jadi Kemboja, Eang Sophalleth berkata ia menjadi sumber ‘kebanggaan’ kerana negara itu menjadi rumah kepada spesies yang paling jarang ditemui di dunia dan berikrar untuk meneruskan usaha ‘pemeliharaan biodiversiti’.
Pembasmian hutan dan pemburuan haram telah menjejaskan banyak spesies di Kemboja.
Dalam pembangunannya berkembang pantas, kerajaan itu telah dikritik kerana membenarkan firma-firma untuk menebang ratusan ribu ekar tanah hutan, termasuk kawasan yang dilindungi.
Penetasan besar-besaran yang berjaya menunjukkan kepentingan utama melindungi Taman Negara Cardamom, kata Pablo Sinovac, Pengarah Negara Program Fauna dan Flora Kemboja. – AFP