Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    60 diplomat AS bakal diusir

    MOSCOW, 30 Mac – Moscow kelmarin bertindak balas terhadap pengusiran diplomat Rusia dan penutupan konsulatnya oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini manakala Washington mengancam untuk memberikan respons sewajarnya.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar Rusia, ia akan mengusir 60 diplomat AS dan menutup konsulat jeneral negara itu St Petersburg sebagai membalas tindakan Washington, lapor agensi berita China Xinhua.

    Kementerian itu telah mengisytiharkan 58 kakitangan kedutaan AS di Moscow dan dua di konsulat jeneral AS di Yekaterinburg sebagai ‘persona non grata’ bagi ‘aktiviti yang tidak sesuai dengan status diplomatik’ serta mengarahkan mereka meninggalkan Rusia menjelang 5 April.

    Ia turut membatalkan persetujuan bagi pembukaan dan pemfungsian konsulat jeneral AS di St. Petersburg serta mendesak kakitangan AS di situ meninggalkan bangunan pentadbiran tersebut menjelang 31 Mac.

    Terdahulu, Duta AS ke Rusia, Jon Huntsman telah dipanggil ke Kementerian Luar dan diberi satu nota bantahan berhubung tindakan AS baru-baru ini yang mengusir 60 diplomat Rusia serta menutup konsulat jeneral negara itu di Seattle.

    Pemandangan ibu pejabat Kementerian Luar Rusia di Moscow pada 29 Mac 2018. Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov berkata Moscow akan mengusir 60 diplomat AS dan menutup konsulatnya di Saint Petersburg. – AFP

    Kementerian Luar Rusia juga menggesa pihak berkuasa AS untuk berfikir semula dan menghentikan tindakan ‘semberono’ yang menjejaskan hubungan dua hala.

    Ketegangan antara Rusia dan negara-negara barat meningkat selepas bekas pengintip Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya, Yulia, dilaporkan telah diserang dengan senjata kimia serta ditemui tidak sedarkan diri di sebuah bangku dalam sebuah pusat beli-belah di Salisbury, barat daya London pada 4 Mac.

    United Kingdom dan AS serta kebanyakan sekutu mereka mendakwa Rusia melancarkan serangan kimia ke atas Skripal, dan secara bersepadu telah mengusir sejumlah besar diplomat Rusia awal minggu ini.

    Rusia menolak mentah-mentah kesemua dakwaan itu dan menuntut bukti kukuh.

    Moscow dijangka bertindak balas tidak lama lagi terhadap semua negara yang mengusir diplomat Rusia berhubung kes Skripal berdasarkan prinsip timbal balik.

    “Langkah-langkah itu umpama cermin, tetapi bukan setakat itu sahaja,” kata Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov pada Khamis.

    Pada Selasa, Huntsman memberitahu RBC TV bahawa Washington mungkin merampas aset Rusia di AS. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda