Saturday, April 19, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    60 mahasiswa UBD hadiri bengkel sejarah

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Seramai 60 orang mahasiswa dan mahasiswi Akademi Pengajian Brunei (APB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menghadiri Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah dan Warisan Budaya Kampong Ayer Fasa ke-2, 2017 yang berlangsung di Galeri Sejarah, Pusat Sejarah, petang tadi.

    Bengkel anjuran Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama APB itu adalah sebagai langkah awal yang perlu diketahui oleh mahasiswa dan mahasiswi sebelum turun kelapangan bagi melaksanakan projek penyelidikan sejarah Kampong Ayer.

    Projek yang dijangka dimulakan pada hujung Februari ini merupakan kesinambungan daripada penyelidikan sejarah Kampong Ayer 2016 yang meliputi kajian atas asal usul sejarah, tokoh dan salasilah, sosiobudaya dan kemajuan dalam pembangunan.

    Timbalan Pemangku Pengetua, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh selaku Pemangku Ketua Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi dalam bengkel tersebut menjelaskan mengenai kaedah penyelidikan sejarah yang memfokuskan pada tata cara, teknik dan praktikal dalam mewawancara atau menemu bual informan atau pengkiah.

    Semasa menemu bual informan, jelasnya, seorang penemubual itu perlu mematuhi etika-etika tertentu seperti mengenalkan diri dengan bersikap rendah diri dan mengemukakan tujuan temu bual dengan bahasa yang mudah difahami.

    Awang Mohammad Faisal semasa menyampaikan taklimat dalam Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah dan Warisan Budaya Kampong Ayer Fasa ke-2.
    Awang Mohammad Faisal semasa menyampaikan taklimat dalam Bengkel Kaedah Penyelidikan Sejarah dan Warisan Budaya Kampong Ayer Fasa ke-2.
    Antara mahasiswa yang menghadiri bengkel tersebut.
    Antara mahasiswa yang menghadiri bengkel tersebut.

    “Cuba timbulkan suasana persaudaraan dalam perkenalan agar informan rasa selesa dan tidak tertekan, selain beri masa yang mencukupi untuk mereka bercakap dan menamatkan perbualan dengan tidak tergesa-gesa,” ujarnya.

    Awang Mohammad Faisal berkata lagi dalam mendapatkan maklumat yang tepat perlulah bersungguh-sungguh menjelaskan soalan dan yang penting pengkaji bersikap jujur dan lurus serta menghindarkan soalan-soalan yang tidak berkaitan dengan kajian.

    Bengkel tersebut diteruskan lagi dengan taklimat Kaedah Penulisan Sejarah yang disampaikan oleh wakil Pusat Sejarah Brunei, Awang Ardysham bin Haji Abu Bakar yang merangkumi penulisan disiplin dan format-format yang khusus ke atas dapatan bahan sejarah lisan untuk ditulis dalam bentuk penulisan sejarah.

    Taklimat mengenai Kaedah Penggambaran telah mengakhiri bengkel yang disampaikan oleh wakil Pusat Sejarah Brunei, Haji Supree bin Haji Tuah dan Pengiran Haji Fawzy bin Pengiran Haji Ahmad yang merangkumi teori, cara dan teknik mengambil gambar yang memperlihatkan nilai sejarah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda