BOGOTA, 29 OKT – Kira-kira 60 orang, termasuk empat pegawai polis dan suspek penjenayah, maut kelmarin dalam operasi besar-besaran antidadah di Rio de Janeiro, yang digambarkan sebagai operasi terbesar dalam sejarah negeri Brazil itu, menurut Gabenor Claudio Castro.
Menurut agensi Anadolu, pihak berkuasa menugaskan 2,500 anggota polis dalam operasi yang bertujuan membanteras perluasan wilayah kumpulan Comando Vermelho.
Castro berkata pasukan keselamatan berdepan tentangan hebat, termasuk tembakan dan serangan bom tangan yang dilancarkan menggunakan dron.
Setakat ini, operasi itu membawa kepada sekurang-kurangnya 81 tangkapan dan rampasan 42 laras senapang patah, menurut laporan terkini kerajaan negeri kelmarin.
Unit penguat kuasa undang-undang yang menaiki 32 kenderaan berperisai memasuki kawasan kompleks Alemao dan Penha di utara Rio de Janeiro awal pagi tadi.
Castro, sekutu politik bekas presiden sayap kanan Jair Bolsonaro, mengesahkan yang polis turut merampas sejumlah besar dadah.
“Walaupun berdepan serangan, pasukan keselamatan tetap teguh dalam perjuangan menentang jenayah. Inilah besarnya cabaran yang kita hadapi; ini bukan lagi jenayah biasa, ini ialah narkokeganasan,” kata Castro.
Beliau menggesa penduduk di kawasan yang terlibat agar kekal berada di dalam rumah sementara operasi diteruskan. – Bernama


