Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Seramai 60 peserta telah menghadiri Program ‘Ilm Series Siri ke-23 anjuran Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Pusat Dakwah Islamiah, hari ini.
Ceramah bertajuk Selamat Tinggal Jahiliyah, Salam Hidayah! disampaikan oleh Penolong Profesor, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Kamaru Salam bin Yusof.
Dalam ceramahnya antara lain menjelaskan, ‘jahiliyah’ bukan sekadar merujuk kepada zaman silam, tetapi turut wujud dalam bentuk moden seperti kelalaian terhadap agama, pengaruh hiburan melampau serta kecuaian terhadap tanggungjawab akhirat.

Beliau menegaskan bahawa setiap individu perlu berani berkata ‘selamat tinggal’ kepada gaya hidup yang menjauhkan diri daripada Allah, serta menyambut ‘salam hidayah’ dengan tekad untuk berubah ke arah kebaikan.
Antara intipati utama ceramah ialah memahami makna jahiliyah dan hidayah dalam konteks kehidupan masa kini, mengenali tanda-tanda seseorang sedang menerima hidayah, langkah-langkah praktikal dalam proses perubahan diri secara berperingkat dan istiqamah, cabaran dalam mengekalkan hidayah serta kepentingan sokongan komuniti soleh dan tanggungjawab menyebarkan cahaya hidayah kepada orang lain melalui dakwah dan teladan yang baik.
Dr Kamaru Salam turut menekankan bahawa perjalanan menuju hidayah adalah proses berterusan yang menuntut kesabaran, keikhlasan serta doa agar hati sentiasa tetap di jalan yang benar.

Beliau mengakhiri ceramah dengan seruan agar para peserta menjadikan perubahan diri sebagai tanda kesyukuran atas kasih dan petunjuk Allah SWT.
Program antara lain bertujuan membimbing para belia serta masyarakat dalam menghayati makna sebenar perubahan diri dan menghargai nikmat hidayah sebagai anugerah tertinggi daripada Allah SWT.
Selain diharap dapat menyemarakkan semangat dakwah dalam kalangan belia di samping membina generasi berprinsip, berakhlak serta berjiwa hamba yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hadir pada program berkenaan, Ahli Jawatankuasa Belia Daie, Alumni Akademi Dakwah 5.0 serta orang awam, Ddan program turut disiarkan secara langsung melalui akaun rasmi Instagram Belia Daie bagi memberi peluang kepada masyarakat umum mengikuti pengisian bermanfaat tersebut.

