PARIS, 4 MAC – Hampir 60 peratus daripada keseluruhan penduduk dewasa dan satu pertiga kanak-kanak di dunia dijangka mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2050, menurut kajian baharu berskala besar yang diterbitkan hari ini.
Kajian terbitan jurnal perubatan The Lancet yang menggunakan data daripada 204 negara itu menggambarkan masalah membimbangkan mengenai apa yang disifatkan sebagai salah satu cabaran kesihatan terbesar abad ini.
“Gejala global yang belum pernah disaksikan bagi masalah berat badan berlebihan atau obesiti adalah satu tragedi besar serta kegagalan sosial yang luar biasa,” kata Ketua penyelidik, Emmanuela Gakidou, dari Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME).
Kajian itu mendapati jumlah individu yang mengalami berat badan berlebihan atau obes di seluruh dunia meningkat daripada 929 juta pada 1990 kepada 2.6 bilion pada 2021.
Tanpa perubahan ketara, penyelidik menganggarkan bahawa seramai 3.8 bilion orang dewasa iaitu bersamaan kira-kira 60 peratus daripada penduduk dewasa global dalam tempoh 15 tahun akan datang, akan mengalami masalah tersebut menjelang 2050.

Penyelidik memberi amaran bahawa sistem kesihatan dunia akan berdepan tekanan yang sangat besar dengan sekitar satu perempat daripada individu obes ketika itu dijangka berusia lebih 65 tahun.
Mereka turut meramalkan terdapat peningkatan sebanyak 121 peratus kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia.
Menjelang 2050, satu pertiga daripada golongan muda yang mengalami obesiti akan tinggal di dua rantau utama, Afrika Utara dan Timur Tengah serta Amerika Latin dan Caribbean.
Namun, masih belum terlambat untuk bertindak, kata Jessica Kerr, salah seorang pengarang kajian dari Murdoch Children’s Research Institute di Australia.
“Komitmen politik yang jauh lebih kukuh diperlukan bagi mengubah corak pemakanan dalam sistem makanan global yang mampan,” katanya. – AFP