Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Lebih 60 peserta terdiri daripada anggota Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), pegawai-pegawai kerajaan dan dari sektor swasta menghadiri Kursus Kontrak Pentadbiran dalam Kontrak Pembinaan dan Kejuruteraan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Kursus anjuran PUJA Academy Sdn Bhd (PASB) itu disampaikan oleh Jurutera Bertauliah dan Profesional, Penimbangtara Bertauliah, Pengantara dan Pengadil, Ir Harbans Singh.
Antara lain tujuan kursus berkenaan adalah untuk memperkenalkan kakitangan berkaitan kepada aspek penting pentadbiran kontrak yang baik.
Di samping itu, matlamat utama kursus adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai ciri-ciri penting pelbagai jenis kontrak pembinaan dan kejuruteraan yang digunakan di negara ini, selain memahami hak dan kewajipan pelbagai pihak di bawah kontrak terutama majikan atau pengguna, pihak berkuasa, profesional, kontraktor dan subkontraktor, pembekal dan pihak ketiga.
Kursus juga memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari semua aspek pentadbiran kontrak daripada mula sehingga pengeluaran sijil, di samping bagi membiasakan diri dengan isu-isu praktikal yang terlibat dalam menjalankan kontrak harian dan cara yang berkesan untuk menguruskan masa dan kos tuntutan yang berkaitan.
Selain itu, ia juga memastikan bahawa para peserta mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang pelbagai cara mengelak kelewatan, pertikaian dan lebihan kos, dan tajuk kursus tersebut memenuhi keperluan profesional dan memberikan pandangan dan pemahaman kontrak.
Kursus ini adalah yang pertama daripada siri kursus yang ditawarkan oleh Ir Harbans Singh di mana kursus sete-rusnya akan ditawarkan pada Oktober dan pada 2024.
PASB secara aktif menawarkan webinar dan kursus maya untuk meningkatkan kecekapan (PUJA) dan industri pembinaan, dengan misinya bagi menggalakkan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.
