Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    60 sertai latihan bola sepak bersama legenda negara

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Lebih 60 orang penuntut tidak melepaskan peluang untuk menyertai sesi latihan bola sepak bersama pemain-pemain legenda bola sepak negara yang dibawakan oleh YAKIN Football League, sempena program Klinik Sukan anjuran Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), baru-baru ini.

    Pemain ternama negara, Haji Rosanan Abdullah Samak, berkata sebagai pemain, mereka perlu fokus sepenuhnya dalam perlawanan dan memberikan komitmen serta mempunyai sikap persefahaman yang erat dalam pasukan untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap.

    “Pasukan kita akan pincang jika pemain-pemain tidak mampu menumpukan perhatian ketika dalam perlawanan, apalagi jika tidak memberikan kerjasama kepada rakan-rakan dalam pasukan,” jelasnya sebelum memulakan latihan asas bola sepak.

    Selain memperkenalkan taktik latihan yang berkesan, beliau juga memberikan motivasi dan nasihat untuk menyuntik semangat peserta supaya meningkatkan minat mereka dalam permainan bola sepak.

    Bekas pemain pasukan bola sepak negara termasuk Haji Zainuddin bin Haji Tumih, Haji Rosaidi Haji Kamis, dan Haji Mohd Sallehin Abdullah Kee turut menjadi pembimbing bagi menjayakan program berkenaan.

    Pengetua SMJA, Hajah Norhashimah binti Haji Burut, melahirkan rasa penghargaan atas sumbangan pengelaman yang dikongsikan oleh bekas pemain-pemain bola sepak negara yang telah mengharumkan negara Brunei Darussalam dalam arena bola sepak satu masa dahulu.

    “Kita berharap program ini merupakan langkah permulaan bagi usaha kolaborasi untuk membantu meningkatkan pengalaman dan memberikan pendedahan agar penuntut terus meminati bidang bola sepak demi masa depan negara,” jelasnya selepas menyampaikan sijil-sijil kepada pembimbing klinik sukan berkenaan.

    Hadir menyaksikan program berkenaan ialah Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Hitune dan Pengarah Urusan YAKIN Football League, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.

    Haji Rosanan menjalankan latihan asas bola sepak semasa program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YAKIN FOOTBALL LEAGUE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda