Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    60 tahun dedikasi hidup jadi jurugambar

    AMARAH, IRAQ – Beliau adalah jurugambar selebriti di selatan Iraq, bekas tahanan politik yang telah menghabiskan lebih 60 tahun di sebalik lensa ka-mera mendokumenkan orang dan tempat-tempat serta tidak menghiraukan adat kebiasaan ataupun kelaziman.

    Samira Mazaal sudah menjangkau umur 77 tahun namun masih sihat dan kuat lebih separuh abad selepas beralih kepada bidang kerjaya fotografi untuk menyara keluarganya – disebabkan dia tidak mempunyai pilihan.

    “Dari petani hingga intelektual, saya telah mengambil gambar mereka semua,” kata ibu kepada dua orang anak, hijab hitamnya menutup sebahagian wajahnya yang telah dimamah usia.

    “Saya telah mengambil gambar Amarah dalam segala keindahannya – saya merakam gambar sehingga tanah payanya di selatan bandar di dataran banjir sungai Tigris dan Euphrates.

    Semua orang di kawasan itu menumpu dan bergantung pada Studio Samira, sama ada untuk mengambil gambar pasport atau potret pasangan suami isteri sebelum majlis perkahwinan mereka.

    Samira menunjukkan gulungan filem analog dan kad memori semasa temu bual di studionya di bandar Amarah. – AFP
    Samira bekerja di studionya di bandar Amarah. – AFP

    Dia menceritakan bagaimana dia menjadi jurugambar wanita pertama di wilayah Maysan pada usia 16 tahun, meskipun melanggar adat kebiasaan keluarga yang berpengaruh di Iraq pada tahun 1960an, dan juga bagaimana aktivisme politik membawa kepada hukuman penjara dan penyeksaan.

    “Keluarga saya tidak pernah bekerja dalam bidang perniagaan lain – kami semuanya adalah jurugambar,” ujar Samira.

    Gambar-gambar berbingkai yang mendereti dinding membuktikan profesionnya, dalam hitam dan putih atau dalam warna yang sudah pudar dimakan masa.

    Dia mempunyai album gambar yang menunjukkan Iraq sebelum ini: wanita berpakaian serba hitam membawa bandela besar kain yang diimbangkan di atas kepala mereka; wanita petani tersenyum dalam gaun bercorak bunga, rambut bertocang, berdiri berhampiran sekor lembu; seorang ibu dan anak mengisi periuk dengan air dari sungai.

    Bapa Samira adalah antara orang pertama yang memperkenalkan fotografi di wilayah itu.

    “Saya memintanya memperkenalkan diri saya dalam dunia fotografi, namun dia berkata: “Tidak, kamu masih terlalu muda. Kamu tidak dapat kerana masyarakat boleh bertindak kejam,” beritahu Samira.

    Namun tidak lama kemudian, keadaan telah memaksanya menukar fikirannya. Beliau menjadi buta dalam satu pembedahan yang dilakukan dengan cuai dan tidak mampu menyara keluarganya.

    Maka Samira terpaksa campur tangan
    Dia bermula dengan menggunakan kaedah daguerotaip pada era 1800 yang menggunakan kepingan tembaga bersadur perak, tetapi pada masa itu bapanya telah menjual beberapa bidang tanah supaya dia boleh membeli lebih banyak peralatan moden.

    “Studio saya mencatat kejayaan luar biasa,” katanya sambil mengukir senyuman.

    “Disebabkan saya seorang wanita muda, saya boleh mengambil gambar keluarga,” ujarnya.

    Samira mengeksploitasi norma-norma masyarakat konservatif di mana ketua keluarga lelaki lebih suka seorang jurugambar wanita, bukan lelaki, untuk mengambil gambar isteri dan anak perempuan mereka.

    Bassem al-Subaid adalah salah seorang pelanggan yang berasa puas hati dengan perkhidmatan Studio Samira.

    “Tidak adanya sesebuah keluarga di seluruh wilayah Maysan yang tidak mengenali jurugambar Samira,” beritahunya kepada AFP.

    “Generasi saya dapat mengenali Samira apabila kami datang untuk mendapatkan khidmatnya dalam mengambil gambar keluarga,” tambah lelaki dalam usia empat puluhan. “Hanya generasi sebelumnya yang melihat dasar aktivis politiknya.”

    Pada tahun 1963, Iraq berpecah belah disebabkan revolusi dan tindakan keras berdarah, dan seterusnya golongan remaja tidak mempunyai idea bahawa risalah berbaur komunis akan dipenjarakan.

    Selepas Jeneral Abdel Salam Aref menerajui pucuk kepimpinan dalam satu rampasan parti Baath, tiga militan datang ke studio Samira dan memintanya menghasilkan poster dalam jumlah yang banyak mengecam rejim baharu.

    Samira menerima hakikat bahawa dia masih belum mempunyai pendapat politiknya sendiri, dan dipengaruhi oleh simpati abangnya ketika itu.

    “Di seluruh Amarah, tidak ada satu tembok yang tidak ditampal dengan salinan poster,” katanya.

    “Ia bukan satu jenayah, ia merupakan satu sumber kebanggaan.”

    Sekeping gambar dirinya, yang masih ada dalam simpanannya sehingga hari ini, menjadikannya terkenal. Ia menunjukkan dirinya terlantar di atas katil hospital selepas diseksa dalam sebuah bangunan di Amarah.

    “Saya menjerit dengan amat kuat sehingga saya sangka penduduk seluruh bandar akan datang dan selamatkan saya,” kongsinya.

    Namun keadaan adalah sebaliknya: dia menghabiskan empat tahun meringkuk dalam penjara Baghdad, sakit dan dianiaya.

    Dia dibebaskan selepas satu kempen antarabangsa yang membawa kepada pengampunan untuk beberapa tahanan politik di Iraq.

    Pada tahun 1981, dia dipenjarakan sekali lagi di bawah pemerintahan bekas diktator Saddam Hussein. Dan sekali lagi 10 tahun kemudian disebabkan bantahan di Amarah ke atas kesan Perang Teluk di Kuwait.

    Seperti beberapa tahanan wanita lain, dia diberikan pengampunan selepas menghabiskan beberapa bulan dalam penjara.

    Hari ini, studio fotografi itu masih mengalu-alukan pelanggan, dan meskipun usianya sudah lanjut, semangat revolusinya masih membara.

    Dia mengalu-alukan pemberontakan pada Oktober 2019, dicetuskan oleh golongan muda Iraq yang berusaha membawa mereka yang berkuasa ke muka pengadilan.

    “Pembantah harus mengubah gerakan mereka kepada revolusi besar-besaran demi membanteras rasuah dan golongan korup,” kata Samira. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...