SEOUL, 17 OKT – Seramai 60 warga Korea Selatan yang ditahan di Kemboja atas dakwaan terbabit dalam aktiviti penipuan siber dijadualkan pulang ke tanah air esok, menurut seorang pegawai kerajaan di Seoul.
“Sekitar tengah malam waktu tempatan di Kemboja, atau awal pagi waktu Korea, sebuah penerbangan khas dijangka berlepas dari Phnom Penh menuju ke Lapangan Terbang Incheon,” kata Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Wi Sung-lac, dalam satu sidang media.
Beliau berkata perbincangan akhir dengan pihak berkuasa Kemboja sedang dijalankan dan hampir kesemua individu berkenaan diklasifikasikan sebagai suspek jenayah, justeru akan dipulangkan mengikut prosedur undang-undang yang sewajarnya.
Korea Selatan sebelum ini menghantar pasukan khas ke Kemboja pada Rabu lalu untuk membincangkan kes penipuan pekerjaan palsu dan pusat penipuan siber yang dikaitkan dengan penculikan rakyat Korea Selatan.
Timbalan Menteri Luar, Kim Jina, yang mengetuai pasukan tersebut, turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi membincangkan usaha bersama memerangi jenayah rentas sempadan, khususnya penipuan dalam talian, menurut kenyataan kerajaan yang disiarkan hari ini.
Sebelum ini, Seoul melaporkan 63 warganya telah ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja dan kerajaan berikrar untuk membawa mereka pulang.
Awal pagi tadi, dua rakyat Korea Selatan yang menunggu pemulangan dari Kemboja telah tiba di Lapangan Terbang Incheon, menurut pegawai Agensi Polis Negara Korea Selatan.
Dua lagi rakyat Korea Selatan juga dilaporkan tiba dari Kemboja awal minggu ini, namun pegawai berkenaan tidak memperincikan sama ada mereka telah dihantar pulang oleh pihak berkuasa.
Wi sebelum ini memaklumkan 63 warga Korea Selatan berkenaan terdiri daripada peserta ‘sukarela dan tidak sukarela’ dalam operasi penipuan siber yang dijalankan di Kemboja. – AFP

