BERLIN, 17 NOV – Para pejalan kaki di bandar Nuremberg, Jerman, memberi laluan kepada ratusan ekor biri-biri apabila sekawan haiwan itu melalui pusat bandar menuju ke padang ragut musim sejuk, kelmarin.
Orang ramai yang ingin merakam detik berkenaan memenuhi tepi jalan sambil memegang telefon masing-masing ketika kira-kira 600 ekor haiwan dalam kawanan milik penggembala Thomas Gackstatter melintasi kawasan tersebut dalam acara tahunan yang semakin popular.
Biri-biri itu dalam perjalanan ke padang ragut musim sejuk di sebelah barat Nuremberg dari bandar tersebut, tempat Gackstatter dan penggembala lain menggunakan
beberapa kawasan lapang sepanjang musim panas bagi memastikan rumput sentiasa terurus.
Perjalanan itu merangkumi lebih 10 kilometer, termasuk melalui dataran pasar utama, Hauptmarkt, lapor agensi berita Jerman, dpa. Menurut Gackstatter, setakat pengetahuannya, Nuremberg merupakan satu-satunya tempat di Jerman di mana biri-biri melintasi dataran utama. Bandar itu mempunyai kira-kira 540,000 penduduk.
Sebelum kawanan haiwan berkenaan melalui laluan tersebut, pihak berkuasa bandar meminta orang ramai memastikan laluan bebas halangan dan menjauhkan anjing daripada biri-biri itu yang terdiri daripada campuran pelbagai baka. Penggunaan dron turut tidak dibenarkan.
Nuremberg bukan satu-satunya bandar di Jerman yang menggunakan biri-biri sebagai ‘mesin pemotong rumput’ semula jadi. – AP

