Saturday, December 28, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    600 hadiri forum bincangkan penghayatan muamalah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Sekitar 600 peserta yang terdiri dari agensi kerajaan dan swasta, institusi pengajian tinggi dan orang awam menghadiri forum perdana bertajuk Pembangunan ekonomi Ummah menerusi penghayatan Muamalah, bertempat di Dewan Sutra, The Rizqun International Hotel, Gadong kelmarin.

    Forum yang membincangkan berkenaan bagaimana muamalah boleh dijadikan asas kepada pembangunan ekonomi umat Islam dihadiri oleh tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.  

    Forum yang dianjurkan bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), An Naafii Co, Sahabat Ustaz Abdul Somad Brunei dan P.A.Y Events berkenaan, menekankan ‘Ekonomi yang Dinamik’ yang meneroka bagaimana nilai-nilai Islam boleh diterapkan dalam konteks pembangunan ekonomi negara.

    Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku panel pertama mengetengahkan tentang peranan zakat dan wakaf dalam meningkatkan kesejahteraan ekonomi ummah apabila beliau menghuraikan kepentingan memahami mengenai tingkah laku penerima zakat terlebih dahulu sebelum zakat diberikan.

    Profesor Madya Dr menambah dengan menjelaskan bahawa keseluruhan sistem menjadi tidak efisien sekiranya zakat yang diterima lebih berfokus kepada memenuhi keperluan seharian dan menyarankan zakat perlu dilaburkan seperti modal awal perniagaan dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi penerima zakat.

    Mengenai dengan wakaf pula menurut Profesor Madya Dr, dana wakaf harus dilihat melangkaui bentuk kebendaan dan menyarankan kegunaan wakaf untuk perkara lain seperti untuk kemajuan pendidikan, pengembangan kemahiran atau latihan-latihan pendidikan bagi masyarakat khususnya bagi yang tidak berkemampuan.

    Selain itu, dana Wakaf boleh diberikan bagi pelengkap keperluan masyarakat seperti tanah-tanah peribadi yang diwakaf dan didirikan bangunan-bangunan komersial, untuk kegiatan perekonomian.

    Justeru, pengurusan profesional dalam mengumpul dan mengagihkan zakat serta wakaf mampu membantu negara dalam menangani isu kemiskinan dan menggalakkan orang ramai untuk mengeluarkan zakat setelah melihat kelebihan dan manfaatnya kepada masyarakat dan negara.

    Profesor Dr Haji Abdul Somad selaku panel kedua pula membincangkan mengenai penerapan prinsip-prinsip syariah dalam kegiatan operasi Lembaga kewangan syariah.

    Ini termasuk kepatuhan dalam muamalah seperti memberi barang yang baik, tidak menipu dan menganiaya pembeli. Antara Produk ekonomi syariah seperti yang disampaikan termasuk kewangan syariah, makanan halal, ubat dan kosmetik, media dan rekreasi serta lain-lain yang mana semua berbentuk keperluan masyarakat Islam.

    Antara objektif forum berkenaan diadakan adalah untuk meningkatkan pemahaman tentang peranan muamalah dalam pembangunan ekonomi ummah dan seterusnya menyelaras prinsip ekonomi Islam dengan matlamat ‘ekonomi yang dinamik’, Wawasan Negara Brunei 2035.

    Forum berkenaan juga diharapkan menjadi wadah dialog dan perbincangan kerjasama antara ilmuan dan masyarakat dalam usaha memajukan ekonomi berlandaskan ajaran agama Islam.

    Dato Seri Paduka Haji Khairuddin menghadiri forum berkenaan.
    Profesor Madya Dr Abdul Nasir dan Profesor Dr Haji Abdul Somad selaku panel pada forum berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda