Saturday, February 1, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    600 jatuh sakit akibat letusan gunung berapi di Filipina

    MANILA, 19 JUN – Kira-kira 628 orang yang dipindahkan ke tempat perlindungan, jatuh sakit akibat letusan Gunung Berapi Mayon, gunung berapi paling aktif di Filipina, lapor agensi kerajaan hari ini.

    Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan merekodkan sekurang-kurangnya 10 jenis penyakit yang menjejaskan mangsa yang berumur dua hingga 64 tahun itu termasuk batuk, selesema, demam, gastroenteritis, jangkitan pernafasan akut dan penyakit kulit, lapor Xinhua.

    Menurut agensi itu, hampir 39,000 orang terjejas akibat letusan Mayon yang bermula pada 8 Jun lepas.

    Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan lebih 20,000 penduduk yang tinggal di zon bahaya di sekitar Gunung Berapi Mayon yang berbentuk kon di wilayah Albay, kira-kira 500 kilometer tenggara Manila ibu negara Filipina.

    Wilayah itu yang diletakkan dalam keadaan bencana, menubuhkan 28 pusat pemindahan kebanyakannya bangunan sekolah, untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

    Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina pada Isnin merekodkan aliran piroklastik selama tiga minit dari kubah lava gunung berapi yang runtuh.

    Kepulan sarat wap meningkat kepada 600 meter dan institut itu mengekalkan tahap amaran gunung berapi pada skala tiga daripada tahap lima.

    Gunung Berapi Mayon kali terakhir meletus pada 2018, mengakibatkan lebih 23,000 orang dipindahkan dari sembilan bandar dan majlis perbandaran. – Bernama

    Gambar fail 12 Jun menunjukkan penduduk berpindah dari zon bahaya gunung berapi Mayon. Pada 19 Jun, lebih 600 jatuh sakit akibat letusan gunung berapi. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda