SEOUL, 30 APRIL – Kira-kira 600 askar Korea Utara yang bertempur bagi pihak Rusia menentang Ukraine telah terbunuh dan ribuan lagi cedera, kata seorang Ahli Parlimen Korea Selatan hari ini, selepas Pyongyang secara rasmi mengesahkan penghantaran tenteranya untuk membantu Moscow.
“Setakat ini, korban tentera Korea Utara dianggarkan berjumlah 4,700 orang, termasuk kira-kira 600 kematian,” kata Ahli Parlimen Lee Seong-kweun, ahli jawatankuasa risikan parlimen, kepada wartawan selepas taklimat oleh agensi perisikan negara itu.
Korea Utara buat pertama kalinya mengesahkan pada Isnin bahawa mereka telah menghantar tentera ke Rusia, dengan agensi berita negara KCNA melaporkan bahawa tentera Pyongyang membantu Moscow merampas semula wilayah yang dikuasai Ukraine di kawasan sempadan Rusia di Kursk.
Moscow sebelum ini turut mengesahkan penyertaan Korea Utara, selepas berbulan-bulan berdiam diri secara rasmi, meskipun Seoul dan Washington menuduh Pyongyang menghantar lebih ramai tentera dan senjata untuk membantu perang Rusia.
Kira-kira 2,000 askar telah dihantar pulang ke Korea Utara pada tahun ini, kata Lee, dan difahamkan kini ditahan secara berasingan di Pyongyang serta beberapa lokasi lain di seluruh negara itu.
“Difahamkan bahawa mayat askar yang terkorban dibakar di Kursk sebelum dibawa pulang,” tambahnya.
Korea Utara menyokong usaha Rusia merampas semula Kursk dengan menghantar 18,000 askar dalam dua fasa, kata Lee, sambil menambah bahawa jumlah pertempuran di kawasan itu telah berkurangan sejak bulan Mac. – AFP
