SUŁOSZOWA, 28 APRIL – Sebuah perkampungan Poland dengan kira-kira 6,000 orang yang terletak di Olkuska Upland, kurang daripada 30km barat laut Krakow, telah digelar ‘Little Tuscany’ kerana susun aturnya yang luar biasa.
Menurut Oddity Central perkampungan Sułoszowa, telah wujud selama bertahun-tahun, tetapi baru-baru ini ia mula menarik perhatian antarabangsa selepas gambar dan videonya tular di media sosial.
Berjuta-juta orang di seluruh dunia terpesona dengan susun atur luar biasa penempatan luar bandar berkenaan. Beratus-ratus rumah di kedua-dua belah jalan tunggal, terbentang di sepanjang ladang pertanian pelbagai warna sesaujana mata memandang.
Setiap seorang daripada 5,819 penduduk, mengikut bancian 2017, tinggal di jalan raya yang sama, sejauh lebih sembilan kilometer.
Gambar udara Sułoszowa pada asalnya tular di Poland pada tahun 2021, tetapi rakaman video daripada dron bulan ini mendapat perhatian antarabangsa. Orang ramai kagum dengan pemandangan unik kampung yang dikelilingi oleh tompok-tompok tanah pertanian di semua sisi, serta hakikat setiap orang hanya membina rumah mereka di sepanjang jalan utama, bukannya berkembang ke luar.
Susun atur jalan tunggal Sułoszowa yang linear telah digelar sebagai ‘pelik’ oleh media antarabangsa seperti Mail Online dan The Sun, tetapi bagi orang Poland, ia hanyalah sebuah perkampungan Poland yang tipikal. – Agensi