Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Terdapat seramai 60,293 orang pekerja asing dengan pas kerja yang sah menurut Banci Majikan dan Pekerjaan yang dikendalikan oleh Jabatan Buruh pada November 2022.
Perangkaan itu dikongsi oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.
Dalam sektor pembinaan, terdapat seramai 16,444 orang warga asing, sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan sebanyak 12,191 orang serta sektor aktiviti penyediaan tempat tinggal dan perkhidmatan pemakanan seramai 8,386 orang, jelas Yang Berhormat Dato ketika mengulas persoalan mengenai pas kerja yang dikeluarkan kepada warga asing yang dikemukakan oleh ahli MMN, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abdin.
“Kalau kita pecahkan lagi perangkaan ini dari segi umur pula, majoriti pekerja asing adalah antara 30 hingga 40 tahun iaitu seramai 30,612 orang.”
Manakala, dari segi pendidikan, seramai 50,643 orang adalah berpendidikan daripada peringkat menengah, teknikal, vokasional kebawah.
Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa jika dilihat daripada perangkaan itu, terdapat ruang bagi anak-anak tempatan untuk mengisikan kekosongan berkenaan.
“Persoalannya adakah mereka mahu, itu kita akan lihat dari segi penaikan kemahiran (upskilling) mereka nanti,” ujarnya.
Beliau seterusnya menerangkan bahawa daripada jumlah 60,293 orang pekerja asing berkenaan, tiga warga tertinggi adalah warga Indonesia, Bangladesh dan Filipina di mana mereka membantu negara dari segi pembinaan dan hospitaliti.
Dalam usaha memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, Jabatan Buruh telah bekerjasama dengan JobCentre Brunei (JCB) di mana pengesahan perlu didapatkan dari JCB untuk memastikan sebelum lesen pekerja asing dibenarkan oleh Jabatan Buruh, bagi mengawal kemasukan pekerja asing khususnya bagi jawatan-jawatan yang dikenal pasti berpotensi untuk diisikan oleh anak-anak tempatan.
Selain daripada itu, Jabatan Buruh juga bekerjasama dengan Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dalam merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang berkaitan dengan perburuhan di negara ini.