Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    61 bakal lanjut pelajaran

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Seramai 61 orang pelajar pagi tadi menandatangani perjanjian dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim Biasiswa Peringkat Ijazah Sarjana Muda ke Luar Negeri bagi sesi akademik 2023/2024 bertempat di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa.

    Majlis anjuran Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa dihadiri oleh tetamu kehormat majlis iaitu Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil penganugerahan.

    Majlis dimulakan dengan sesi penandatanganan bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia oleh Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.

    Manakala, para penerima menandatangani perjanjian tersebut dengan ditemani oleh dua orang penjamin.

    Dalam pada itu, salah seorang penerima biasiswa yang ditemu bual oleh pihak media, Kon Chai Eshyn merafakkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peluang yang diberikan untuk melanjutkan pembelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perubatan.

    Beliau berkata, hasrat untuk menjadi seorang doktor adalah antara fokus utama bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk negara dan juga kepada masyarakat.

    Dengan menandatangani perjanjian tersebut, beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Di kesempatan itu juga, beliau ingin mengucapkan terima kasih terutamanya kepada ibu bapa, guru, dan juga sahabat atas sokongan yang diberikan.

    Seterusnya, Dayang Aneeza Delaila binti Mohammad Shamsul juga turut merafakkan rasa syukur dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas peluang yang diberikan untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi.

    Dayang Aneeza Delaila semasa ditemu bual media. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda