Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Setelah berjaya menempuhi latihan asas selama lapan bulan, seramai 61 orang Rekrut Polis Konstabel Skuad 1/2017 telah diraikan dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada upacara berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhammad Sazali bin Pengiran Haji Yakob.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al Islam, pegawai-pegawai kanan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), pegawai dan anggota PPDB serta ahli keluarga rekrut-rekrut yang diraikan.
Dalam ucapannya di majlis itu, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Muhammad Sazali antara lain berkata, perjuangan dan hala tuju sebenar anggota polis bermula sebaik sahaja penempatan pekerjaan ditentukan.
Selaku anggota polis yang terlatih, tambahnya, para rekrut hendaklah yakin dan berani menghadapi apa jua bentuk cabaran yang pastinya menguji keupayaan, pengetahuan dan profesionalisme semasa melaksanakan tugas-tugas harian.


“Adalah juga menjadi keutamaan kepada para rekrut semua untuk sentiasa berwaspada semasa memikul dan menanai tugas dengan berpaksikan kepada undang-undang, peraturan dan perintah yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa seperti yang telah dipelajari ketika menjalani latihan asas kepolisan.
“Biskita perlu ingat bahawa, dalam melaksanakan tugas-tugas seharian, biskita hendaklah sentiasa menggunakan dan memanfaatkan kuasa-kuasa polis selaras dengan peruntukan undang-undang dan bukannya mengikut emosi atau atas kepentingan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Pada upacara berkenaan, tetamu kehormat turut memeriksa perbarisan dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil kepujian kepada rekrut polis Konstabel Skuad 01/2017.
Penerima pertama ialah Rekrut 6507 Muhd Ashaari bin Zaini yang juga merupakan penerima Sijil Terbaik dalam Semua Jurusan.
Penerima Sijil Kepujian Terbaik dalam Undang-Undang dan Pekerjaan Polis pula ialah Rekrut 6523 Muhammad Zikir Jauhari bin Abdul Rahim @ Lampuh dan Sijil Terbaik dalam Kawad dan Latihan Luar pula diberikan kepada Rekrut 6481 Mohd Alauden bin Mohd Ali.
Rekrut 6507 Muhd Ashaari ketika ditemui menyatakan, kerjaya sebagai anggota Pasukan Polis Diraja Brunei adalah impian beliau sejak di bangku sekolah lagi kerana terlalu mengagumi anggota beruniform.
Beliau menyatakan perasaan sangat bersyukur dan berbangga kerana telah berjaya menjalani latihan asas berkenaan dengan cemerlang atas sokongan dan dorongan ibu bapa beliau serta para jurulatih di Pusat Latihan Polis.
Sementara itu, menurut Rekrut 6523 Muhammad Zikir Jauhari, untuk menjadi seorang anggota polis bukanlah mudah dan ianya memerlukan ketabahan hati, disiplin yang teguh, jujur serta memerlukan ketahanan dari segi mental dan fizikal.
Rekrut 6481 Mohd Alauden pula berkata, beliau berjaya menjalani latihan asas berkenaan atas sokongan keluarga yang tidak pernah berhenti memberikan nasihat serta semangat untuk sentiasa terus maju dan sentiasa berazam untuk terus berjaya.